MTEM telah lama menyokong falsafah ini dan kami menantikan pembentangan RMK-12 yang menjanjikan anjakan daripada tumpuan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang secara lumrah membesarkan ketidaksamaan ekonomi kepada tumpuan untuk meningkatkan kebajikan ekonomi bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kelas, kaum atau wilayah.

Kami menantikan dasar-dasar yang akan menggalakkan keusahawanan sebenar dalam kalangan masyarakat terutama bumiputera. Dasar ekonomi yang berasas merit dan kuasa pasaran akan menguntungkan mereka yang dilahirkan dalam keluarga berada.

Mereka begitu yakin segala kejayaan adalah 100% berpunca daripada usaha sendiri dan juga layak meraih kekayaan lebih besar.Dalam pada itu, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi perlu mengarahkan semua agensinya menumpukan kepada rancangan perkembangan ekonomi jangka pendek yang tidak perlu menunggu RMK-12 untuk dilaksanakan.

Kemakmuran Bersama seharusnya diberi dorongan permulaan untuk menjana perkembangan ekonomi dengan segera. Terlalu banyak masa dibazirkan akibat kegagalan masa silam tetapi sekarang kita perlu melihat kepada perkembangan masa depan dan untuk ini, badan-badan kerajaan harus mempunyai sasaran-sasaran yang akan membolehkan pembangunan seimbang.

Namun rancangan untuk menggabungkan Axiata Group Berhad (Axiata) dan Telenor ASA (Telenor) dari Norway mungkin akan menyebabkan kerajaan Malaysia hanya memiliki 43.5 % daripada pemilikan entiti tergabung yang kini dipanggil MergedCo.

Biarpun pada masa dahulu, Axiata dan syarikat milik kerajaan (GLC) lain dimiliki secara majoriti oleh kerajaan, kesungguhan mereka untuk melaksanakan agenda nasional tetap kurang memuaskan.

Kini dengan Axiata tidak lagi dikawal kerajaan, adakah akan ada usaha MergedCo untuk melaksanakan segala agenda nasional? Ingatlah, agenda membantu bumiputera adalah sebahagian daripada agenda nasional.

Selain itu, tidak wajar bagi kita untuk mengandaikan agenda nasional akan dilaksanakan dengan setia oleh GLC mahupun kerajaan sendiri. Sejarah menunjukkan pemimpin-pemimpin kerajaan dan GLC telah cuai berkenaan isu ini dan kerap kali memberikan pelbagai alasan bagi mempertahankan kegagalan mereka.

Suatu isu yang sepatutnya dirisaukan semua rakyat adalah penjelasan diberikan Kementerian Kewangan berkenaan keputusan untuk membayar premium 25 % untuk membeli pemilikan Gamuda Berhad dalam beberapa lebuh raya di Lembah Klang.

Kementerian Kewangan memberi hujah perbelanjaan sebanyak RM6.2 bilion adalah wajar kerana pendapatan besar akan diraih daripada caj kesesakan semasa waktu sibuk. Namun lalu lintas boleh tol bagi Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) dan Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) yang dimiliki Gamuda sudah pun menurun sejak 2016 walaupun populasi Lembah Klang kian meningkat.

Faktor-faktor yang berkemungkinan adalah pembukaan transit aliran massa (MRT) dan kad RapidKL RM100 tanpa had. Sprint sendiri mencatatkan kerugian bagi tiga tahun berturut-turut dan menjadi liabiliti yang semakin berat kepada Gamuda.

Ada spekulasi menyatakan tujuan pengambilalihan Gamuda pada harga tinggi adalah untuk memastikan syarikat itu mempunyai dana mencukupi bagi membiayai projek penambakan laut di Pulau Pinang.

Dengan membayar Gamuda pada kadar terlalu tinggi, syarikat itu bukan sahaja bebas daripada masalah penurunan lalu lintas di rangkaian lebuh raya yang dimilikinya tetapi juga memastikan projek penambakan Pulau Pinang dilaksanakan. Kami berharap spekulasi ini tidak benar kerana itu bukan Kemakmuran Bersama tetapi kemakmuran untuk golongan terpilih.

Kami berharap kerajaan Pakatan Harapan tidak akan mementingkan projek mega atau penggabungan mega berbanding kebajikan rakyat. Jika kerajaan ingin menjayakan Kemakmuran Bersama, dasar-dasar yang menyasarkan kumpulan-kumpulan ekonomi berbeza perlu diwujudkan kerana situasi ekonomi berlainan juga memerlukan penyelesaian berlainan.

AHMAD YAZID OTHMAN
Ketua Pegawai Eksekutif MTEM