Isu tersebut merujuk kepada pencemaran Sungai Tengah akibat pelepasan sisa ternakan yang tidak dirawat dan aliran air buangan dari kilang kelapa sawit.

Selain itu, sungai tersebut menerima air jerap dari pusat pelupusan sampah Pulau Burung.

Sungai Tengah mengalir dari cabang Sungai Jawi dan Parit Sisir Titi Hitam seterusnya mengalir ke laut.

Keluasan sungai adalah 21.05 kilometer persegi dan segala air buangan sepatutnya dirawat terlebih dahulu sebelum dilepaskan.

JPS telah merancang untuk menjalankan kerja-kerja pengorekan bagi membuang enapan dalam Sungai Jawi dan Sungai Tengah, pun begitu ia hanya penyelesaian jangka pendek.

Penyelesaian menyeluruh memerlukan kerjasama daripada semua pihak berkaitan seperti Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Veterinar.

Pemantauan terhadap sistem air terbuang di ladang-ladang ternakan haiwan berhampiran premis atau kilang perlu dibuat supaya mematuhi segala peraturan ditetapkan.

Masalah ini akan dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pencemaran Sungai Pulau Pinang yang dianggotai jabatan-jabatan negeri dan Persekutuan.

JABATAN PENGAIRAN & SALIRAN MALAYSIA (JPS)