Saya nak berkongsi kes ini dipercayai telah sekian lama berlaku. Ada desas-desus mengatakan terdapat kenderaan komersial yang akan menjalani pemeriksaan di Puspakom Sdn. Bhd. (Pusapakom) terlebih dahulu menyewa tayar mengikut spesifikasi ditetapkan.

Dengan keadaan tayar yang baik terpasang ketika diperiksa, sudah pasti kenderaan terbabit akan lulus. Setelah selesai urusan pemeriksaan di Puspakom serta lulus untuk kembali ke jalan raya, tayar sewaan dikembalikan dan tayar asal yang dianggap kurang ‘harapan’ untuk lulus dipasang semula.

Saya berpandangan jika tindakan licik ini benar-benar berlaku maka kemungkinan kejadian serpihan tayar celup ‘tertinggal’ di atas lebuh raya adalah berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab sebegini.

Kewajarannya mereka berbuat demikian kerana menyewa tayar lebih rendah kosnya berbanding membeli tayar baharu yang boleh mencecah puluhan ribu ringgit bagi kenderaan komersial seperti treler yang mempunyai banyak tayar.

Setegas mana pun pihak berkuasa tetapi jika sikap sebegini berterusan maka sampai bila-bila pun kejadian ini akan berlaku. Apa pun saya percaya memang sukar untuk mengesan kegiatan menyewa tayar khusus untuk tujuan pemeriksaan di Puspakom.

Sedangkan usaha untuk membanteras kegiatan salah laku seperti membawa lebih muatan oleh kenderaan komersial di jalan raya sering dipintas oleh tonto, apatah lagi untuk mengesan kegiatan sewa tayar ini.

PENGGUNA LEBUH RAYA

Seri Kembangan, Selangor