Kumpulan yang perlu diberi perhatian khusus adalah isi rumah dengan pendapatan bulanan kurang dari RM2,000.

Kumpulan ini yang hampir semuanya adalah bumiputera mencatatkan keyakinan ekonomi terendah berbanding isi rumah dengan pendapatan lebih RM7,000 sebulan.

Ekoran keyakinan ekonomi golongan berpendapatan rendah yang sangat kecil, kerajaan wajar mengambil tindakan pantas untuk merapatkan jurang ekonomi yang semakin ketara.

Antara langkah yang boleh diambil adalah pertama, menaikkan gaji minimum mengikut sektor sejajar dengan peningkatan kadar inflasi negara.

Langkah itu juga akan menyebabkan majikan tiada pilihan kecuali meningkatkan produktiviti jika mahu terus untung dan menghalang mengambil ramai pekerja asing dengan gaji amat rendah.

Kedua, kerajaan hendaklah meningkatkan nilai pemberian Bantuan Sara Hidup rakyat dengan kuantum besar untuk membetulkan pengagihan manfaat yang dinikmati golongan berpendapatan tinggi.

Ketiga, meneliti kaedah perolehan kerajaan yang lebih berkesan dalam merancakkan ekonomi negara terutamanya sektor perolehan industri kecil dan sederhana (IKS).

Kami menerima maklum balas dari ahli MTEM, sekarang tender terbuka diumumkan dengan saiz kontrak terlalu besar dan ini pasti akan mengehadkan kebanyakan kontraktor bumiputera untuk mengambil bahagian.

Paling pelik, ketika kerajaan mengumumkan tender-tender terbuka bernilai tinggi, pemerintah masih mengeluarkan alasan untuk memberi tender terus kepada syarikat yang dipilih dengan kriteria tidak diketahui.

Sebagai contoh, Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMM) kesal dengan tindakan Kementerian Kewangan memperoleh begitu banyak buku teks tanpa tender terbuka dengan alasan keperluan untuk menyediakan buku-buku itu dengan pantas.

MTEM kecewa kerana perkembangan ini telah menidakkan peluang pencetak buku yang sebenarnya memiliki mesin pencetak, bukannya syarikat penerbit. Saiz kontrak yang besar dan diberi secara terus tanpa melalui proses tender terbuka telah mengecewakan komuniti ekonomi bumiputera.

AHMAD YAZID OTHMAN
Ketua Pegawai Eksekutif MTEM