Aktivis seperti Greenpeace, Persatuan Pengguna Pulau Pinang, National Environmental Trust, Japan Offspring Foundation, Friends of the Earth semua menyasarkan plastik adalah musuh alam sekitar yang tidak patut digunakan.

Sebenarnya plastik adalah bahan yang unik dan berguna apabila ia tidak muncul sebagai ‘sampah’. Sebagai contoh, di negara-negara membangun seperti Singapura dan Jepun, sisanya diurus dengan baik.

Menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), dalam sehari rakyat Malaysia dianggarkan membuang 7,986.47 tan sampah. Itu data yang dicatatkan pada Jun 2015 dan kajian menunjukkan komposisi sisa plastik adalah sebanyak 14 peratus.

Oleh kerana plastik adalah bahan yang tidak mudah untuk mengurai, ia dianggap ancaman yang tinggi kepada hidupan dan alam sekitar.

Kebanyakan pusat beli belah dan kedai runcit juga melarang penggunaan plastik pada Sabtu serta mengenakan caj sebanyak 20 sen untuk setiap beg plastik yang digunakan.

Sejak penguatkuasaan amalan itu, pengguna sering tertanya-tanya ke mana pergi duit tersebut. Adakah menjadi milik pengusaha ataupun disalurkan kepada badan kebajikan atau hanya untuk menguntungkan perniagaan?

Jika begitu, pengguna mempunyai hak mendapat beg kertas percuma untuk pembungkusan jika larangan terhadap beg plastik dikuatkuasakan, bukan dicaj.

Ia hanyalah masalah pengurusan sisa pepejal dan ini dapat diselesaikan jika kita mengurusnya dengan cekap.

Larangan penggunaan plastik tidak akan menyelesaikan masalah alam sekitar malah menyebabkan pengguna berpendapatan rendah terbeban dengan caj setiap beg plastik yang mahu digunakan.

Harus diingatkan bahawa laporan Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) pada 2018 memaklumkan, industri plastik negara menyumbang 76,000 peluang pekerjaan pada 2013 dan meningkat kepada 84,000, 2017. Ia juga penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Penggunaan plastik tidak harus terus diharamkan tetapi kita perlu memberi sedikit waktu untuk saintis menghasilkan bahan alternatif yang mesra alam.

Untuk menjaga alam sekitar, mentaliti masyarakat perlu diubah dengan mengajar mereka membuang sampah plastik mahupun kertas di tempat yang sepatutnya, bukan di merata-rata tempat.

MUNIRAH ONN

Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Pasir Gudang, Johor