Saya adalah seorang ayah yang mempunyai anak masih menganggur selepas menamatkan pengajian dalam bidang perubatan.

Saya berasa amat sedih melihat nasib anak saya dan rakan-rakannya yang rata-rata adalah pelajar cemerlang dan mendapat semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mereka yang telah dihantar belajar ke luar negara sehingga kini masih terumbang-ambing dan belum ditawarkan jawatan doktor pelatih oleh kerajaan.

Sudahlah belajar bidang perubatan susah dan memakan masa yang panjang, rata-ratanya pelajar ini tamat belajar pada usia purata 26 tahun.

Dan berdasarkan trend semasa, ada siswazah yang telah menunggu lebih dari dua tahun yang belum dipanggil menjalani housemanship lagi.

Bayangkan jika seorang pelajar ini tamat belajar pada usia 26 tahun dan menunggu dua tahun sebelum dilantik sebagai doktor pelatih di hospital-hospital kerajaan, maka mereka baru dapat memulakan penghidupan pada usia 28 tahun.

Dengan usia yang lewat begini bilakah masanya mereka dapat mengumpul wang untuk mendirikan rumah tangga dan membina penghidupan.

Sedangkan ramai rakan mereka yang kurang cemerlang ketika SPM dahulu dan menyambung pelajaran dalam bidang-bidang lain sudah pun lama membina kerjaya dan mampu berkereta besar serta berumah tangga.

Sedangkan anak saya dan rakan-rakannya terpaksa bersengkang mata bekerja sementara di restoran makanan segera.

Saya masih ingat lagi dalam pembentangan bajet setahun dua lalu akan keprihatinan Perdana Menteri ketika itu yang menyedari hakikat berkenaan dan telah mengambil langkah proaktif dengan mengumumkan 3,000 jawatan kontrak khas doktor pelatih.

Ini bagi memastikan graduan bidang perubatan dapat bekerja agar kemahiran mereka tidak menjadi obsolete (lapuk) jika menunggu terlalu lama untuk praktikal di hospital.

Perlu diingatkan bahawa jawatan doktor tidak sama dengan kerjaya lain kerana tanpa peluang menjalani housemanship di hospital mereka tidak boleh mendapatkan Annual Practising Certificate (APC) iaitu sijil perakuan amalan perubatan.

Ini syarat mandatori untuk seseorang graduan perubatan menjalankan amalan perubatan di hospital atau klinik kerajaan atau swasta.

Justeru, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa nasib graduan perubatan ini samalah seperti isteri yang digantung tak bertali oleh suami.

Nasibnya terumbang-ambing jika tiada rasa tanggungjawab dan belas ihsan suami yang dalam konteks ini adalah kerajaan.

Tambah menyeksakan adalah sudahlah menunggu panggilan housemanship bagaikan menunggu buah yang tidak jatuh-jatuh.

Anak saya dan rakan-rakannya telah diberikan surat bayaran balik pinjaman yang berkuat kuasa enam bulan selepas tamat belajar.

Kesemuanya ini tambah memberikan tekanan mental kepada graduan ini dan saya bersetuju dengan ungkapan mahasiswa sewaktu membantah kaedah bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) baru-baru.

Ia berupa sindiran sinis kepada kerajaan Pakatan Harapan yang berbunyi “Jika tidak mampu menepati janji, janganlah pula menzalimi”.

Oleh itu, saya menyeru Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad agar memikirkan akan rintihan dan kepedihan hati anak-anak kita ini yang masih menunggu pembelaan dari menterinya yang dikatakan mempunyai latar belakang pendidikan begitu hebat.

Janganlah leka sangat dengan penguatkuasaan amalan merokok di restoran dan kedai kopi yang akhirnya terpaksa ditarik balik hasil tentangan orang awam melalui injunksi mahkamah.

Perkara yang saya nyatakan ini adalah jauh lebih penting daripada kempen antimerokok itu kerana melibatkan kebajikan hidup rakyat yang mengharapkan pembelaan.

Jika kerajaan hari ini masih asyik berpolitik dan menuding jari kepada pemerintah yang lalu tanpa berbuat sesuatu dalam mengurangkan bebanan hidup rakyat, maka saya tidak terperanjat jika kerajaan Pakatan Harapan boleh jatuh.

Ini seperti mana jatuhnya Kerajaan Pasir Dua Butir dalam filem legenda yang amat popular satu masa dahulu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan datang.

BAPA MARHAEN
Kuala Lumpur