Namun jawapan demi jawapan diberikan tidak dapat menyedarkan orang Melayu tentang perkara ini. Apakah sebab BN boleh dikalahkan oleh Pakatan Harapan? Jawapannya terlalu mudah iaitu disebabkan oleh fitnah.

Dan dari manakah datangnya fitnah tersebut? Fitnah datang daripada golongan manusia berniat jahat, malahan mereka langsung tidak berminat untuk mengkaji atau mendalami sejarah negara sendiri.

Analisis PRU-14 menyatakan antara pengundi terbanyak yang keluar mengundi adalah generasi muda berusia dari 21 hingga 39 tahun. Mereka inilah penentu kepada perubahan tampuk pemerintahan negara sejak 9 Mei 2018.

Generasi muda seperti ini lebih mudah terpedaya dengan segala bentuk pengaruh di sekeliling dan merekalah yang baharu hendak mendalami apa yang dinamakan dunia politik. Tapi sedar atau tidak, pembelajaran politik telah lama kukuh berada dalam subjek Sejarah dari dulu hingga kini.

Pada pendapat saya, Sejarah adalah satu mata pelajaran paling penting sejak dari sekolah rendah lagi. Namun tidak dapat dinafikan juga, Sejarah adalah mata pelajaran paling membosankan bagi murid-murid kerana dipenuhi fakta-fakta, pelbagai tarikh dan banyak peristiwa lampau di mana generasi kini tidak bersama menghadapinya.

Oleh kerana itu, ada murid tertidur sewaktu guru Sejarah sedang mengajar kerana tidak menghayati apa yang diajar.

Setiap warganegara Malaysia menyata kecintaan terhadap negara melalui nyanyian lagu Negaraku, bacaan Rukun Negara pada hampir setiap masa tapi mengkaji sejarah tidak sesekali dilaksanakan khususnya oleh generasi muda.

Dan akhirnya sejarah hanya tinggal sejarah, fakta, tarikh penting serta peristiwa lama dilupakan begitu saja sedangkan inilah antara aset paling berharga dimiliki negara agar kedaulatannya terjaga.

Anak-anak generasi muda pula senang terikut-ikut segala pengaruh di sekeliling mereka termasuk saya. Alhamdulillah, saya telah ditanam dengan nilai mencintai negara melalui penghayatan daripada buku-buku Sejarah sejak kecil lagi.

Saya tidak lupa perjuangan mempertahankan negara oleh datuk, nenek dan moyang terdahulu. Tanpa bacaan dan kisah perjuangan ini, mungkin hari ini saya juga tergolong dalam kalangan generasi muda yang melupakan sejarah.

Dan tidak mustahil juga, saya tergolong dalam kalangan generasi muda yang mudah terpedaya dengan segala pengaruh negatif terutama berkaitan politik di sekeliling.

Sejarah harus dikaji, bukan sahaja dibaca untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Jika benar-benar mendalami sejarah, anda pasti tahu tentang betapa hebatnya kesultanan Melayu Melaka di persada dunia pada zaman dahulu. Siapakah penduduk asal di tanah air kita ini?

Mengapakah ia digelar Tanah Melayu? Anda juga pasti faham mengapa kita perlu mempertahankan institusi diraja berpelembagaan? Pasti anda juga tahu mengapa Islam diangkat sebagai agama Persekutuan walaupun pengaruh Buddha dan Hindu telah ada di tanah air kita?

Pastinya anda tahu juga mengapa bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa rasmi negara? Tidak lupa juga tentang penjajahan kuasa luar ke atas tanah air serta perjuangan tokoh terdahulu bagi memastikan Malaysia terus kekal dan harmoni.

Paling utama ialah siapa perlu diangkat sebagai pejuang yang mempertahan negara pada masa dahulu.

Jika anda kaji setiap titik sejarah di negara kita, pastinya generasi muda kini tidak akan mudah terpengaruh dan sewenang-wenangnya cuba menghancurkan pemerintahan lama malah akan terus setia dan menjaga semua kedaulatan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Inilah keadaannya apabila manusia itu buta sejarah. Hasutan dan fitnah amat mudah mempengaruhi diri tanpa sebarang kajian mendalam terhadap sejarah dan akhirnya merobohkan negara yang telah lama dibina oleh para pejuang terdahulu yang sanggup berkorban hingga ke titisan darah terakhir.

Kuasa lain tidak mampu untuk menguasai negara ini jika semua warganegara dapat menepis campur tangan luar hanya dengan menggunakan bidasan-bidasan sejarah.

Namun jika sejarah dibiarkan maka mudah rakyat diputarbelit dengan fitnah serta penipuan sepanjang masa dan tidak mustahil, detik penjajahan yang telah lama kita tinggalkan dahulu akan kembali ke Malaysia.

MOHAMMAD HAKIM

Wangsa Maju