Rahsia untuk memaksimumkan pengalaman semasa di IPT adalah mencari keseimbangan yang tepat antara akademik dan aktiviti yang diceburi. Sebilangan besar pelajar terlibat dalam sukan, kelab, persatuan, majlis perwakilan pelajar, pertubuhan profesional dan sebagainya pasti tahu akan cabaran yang dihadapi dalam mengimbangkan pembelajaran dengan aktiviti tersebut.

Namun, mereka yang terlibat percaya bahawa cabaran yang dilalui itu adalah amat bermakna. Sesetengahnya mampu memperoleh pencapaian akademik yang lebih baik di samping menikmati pengalaman kolej lebih daripada mereka yang tidak terlibat.

Mereka yang berjaya selalunya tahu menguruskan masa dengan baik. Sebagai tip kepada orang lain, sebaiknya anda perlu menjadualkan masa belajar harian yang teratur dan tersusun. Jika anda terlibat dalam aktiviti yang mengambil banyak masa seperti sukan atau muzik, adalah penting untuk merancang lebih awal.

Anda juga tidak digalakkan untuk menangguhkan kerja atau tugasan kerana ia akan membuatkan anda tertekan.

Daripada ‘belajar untuk peperiksaan’ dalam satu malam, adalah lebih baik jika anda konsisten dalam jangka masa yang ditetapkan.

Mengambil bahagian dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti akan membuka peluang dan membantu anda bukan sahaja belajar dan berkembang sebagai individu tetapi juga membina diri anda untuk masa depan.

Kemahiran yang pelajar peroleh dan belajar di IPT untuk mengimbangi akademik dengan aktiviti kokurikulum akan membantu mereka mengimbangi kehidupan selepas tamat pengajian kelak.

AZIZI AHMAD

Pendidik