Terbaharu, rakyat sekali lagi digemparkan dengan arak beracun. Akibatnya ramai yang maut dan kritikal.

Khabarnya arak yang diminum mangsa, satu jenama yang diimport, dua lagi dibotolkan dalam negara. Tidak dapat dipastikan jenama mana satu yang mengandungi racun, arak yang diimport atau yang dibotolkan dalam negara. Mungkin juga kesemuanya beracun.

Makanan beracun bukan perkara baharu. Sayur-sayuran dan buah-buahan ada yang beracun. Pendek kata, sekarang ini banyak makanan yang kita makan mengandungi racun. Cuma kesannya saja menentukan. Baik jangka pendek atau panjang.

Tulisan ini tidak mahu memperkatakan pasal arak beracun. Arak itu kalau tidak ‘diracunkan’ memang ia adalah racun. Tapi saya mahu memfokuskan kepada sayur-sayuran dan buah-buahan.

Tabiat orang kita apabila membeli sayuran dan buahan, akan memilih yang segar dan cantik.

Kalau membeli cili, kita akan pilih yang montok dan merah berkilat. Tabiat ini mungkin bagus, cermat dan berhati-hati. Tapi apakah kita sedar, apa yang kita pilih itu adalah racun.

Perkara ini sudah tentu sukar untuk dielakkan, kerana sudah menjadi sebahagian daripada cara hidup.

Kalau kita memasak atau makan di rumah, barangkali kita akan basuh dahulu.

Tapi apakah kesan racun itu benar-benar boleh hilang?

Kalau kita makan di restoran atau kedai makan, bagaimana?

Apakah pengusaha premis makanan mengambil berat tentang kebersihan dan kepentingan pelangan?

Persoalannya, bagaimana barangan beracun boleh masuk ke negara kita?

Siapakah sebenarnya yang patut bertanggungjawab? Rakyat atau kerajaan?

Kerajaan ada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, ada Kementerian Kesihatan. Apa peranan penguat kuasa bahagian Keselamatan dan Kualiti kementerian itu?

Bukan bermaksud mencari salah siapa?

Tapi tanggungjawab perlu dipikul sebaik mungkin setelah rakyat memberikan kepercayaan memerintah negara.

Kenapa kita tidak mengikut langkah kerajaan Singapura, yang begitu teliti dan amat mengambil berat terhadap bahan makanan yang diimport masuk ke negara kosmopolitan itu.

Barangan berkualiti rendah pun akan ‘ditolak’. Tapi negara kita barangan beracun senang-senang boleh dibawa masuk. Apakah sekarang ini racun tidak dikenakan SST?

Nazri Sham

Chenor, Pahang.