Namun, itu tidak bermakna pemilik restoran mempunyai ‘imuniti’ daripada tindakan sekiranya melampaui batas khususnya dalam aspek kebersihan, tanda harga dan caj harga.

Baru-baru ini sekali lagi sebuah restoran 24 jam menarik perhatian apabila sedikit kuah kari dicaj RM1 dan sedikit timun dicaj RM4 dengan alasan itu caj normal sekiranya kuah dan timun dibungkus berasingan.

Saya sudah tahu jawapan retorik pemilik mahu pun persatuan yang memayungi restoran jenis ini tetapi pada masa sama mohon pihak berwajib menyiasat sejauh mana kakitangan restoran tersebut diberi latihan.

Secara peribadi saya semakin jarang singgah di restoran 24 jam disebabkan faktor harga tetapi jika sudah lewat malam kadangkala memang tiada pilihan lain.

Bagaimanapun, kerap kali saya perhatikan rata-rata restoran 24 jam tiada penjaga tetap di kaunter bayaran sehinggakan pernah tukang bancuh air pun mengambil bayaran.

Disebabkan tiada pekerja tetap yang menjaga kaunter bayaran, ada pekerja tidak tahu atau tidak pasti harga atau caj yang sepatutnya dikenakan.

Dalam kes terbaharu ini, saya percaya masalah berpunca daripada pekerja yang tidak pasti harga yang boleh dikenakan dan hanya menekan angka secara rambang sekali pun memang tidak masuk akal.

Oleh itu, pemilik restoran mahu pun pihak persatuan disaran mewajibkan seorang sahaja pekerja menjaga kaunter bagi mengelak masalah serupa berulang.

JANJI CAPATI

Kuala Lumpur