Sejauh manakah kumpulan ini berkeupayaan menjalankan amanah tersebut? Bagi golongan pendidik, penilaian mereka tentunya tidak lari daripada pemerhatian ke atas tingkah laku yang diperlihatkan pelajar dalam sesi pembelajaran.

Dari itu, guru dapat mengukur sejauh mana mereka boleh berfikir secara matang dalam membuat pertimbangan. Kehidupan yang guru lalui saban hari menjadikan mereka golongan yang amat memahami pemikiran, sikap dan nilai yang menjadi teras kekuatan dan kelemahan pelajar.

Kenyataan beberapa tokoh yang disiarkan di dalam akhbar baru-baru ini merumuskan sistem pembelajaran yang ada belum memberikan ilmu pengetahuan yang mencukupi berhubung kesedaran mengenai landskap politik serta kerangka sistem politik negara kepada golongan muda.

Justeru, pada had umur sedemikian sebenarnya mereka belum cukup matang dalam membuat keputusan semasa mengundi. Cuba tanyakan kepada mana-mana pelajar sekolah menengah, apakah maksud dewan undangan negeri atau ahli dewan undangan negeri atau ahli parlimen. Lihat sejauh mana pengetahuan mereka.

Beberapa tahun lalu semasa ditemuduga, calon guru lepasan ijazah pun masih ramai yang tidak dapat menjawab soalan, kerajaan apakah yang memerintah Malaysia.

Para pakar ini juga menyarankan sektor pendidikan patut mengadakan silibus literasi politik dan meningkatkan fokus kepada usaha membangunkan sifat rasional, berhemah dan menjauhkan sifat mudah emosi.

Persoalan pentingnya ialah apakah sistem pembelajaran kini mampu memikul dengan berkesan hasrat ini ? Bagi yang rapat dengan sekolah merasakan kurang wajar mencadangkan penambahan mata pelajaran setiap kali timbul sesuatu yang baru.

Adalah lebih munasabah memastikan proses pembelajaran semasa benar-benar mampu menterjemahkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan menyerapkan ‘roh’ Kurikulum Kebangsaan yang matlamat akhirnya melahirkan warga negara yang baik.

Mahu tidak mahu sektor pendidikan kini perlu mengorak langkah bagi menjamin pelajar yang mereka keluarkan dapat memberikan sumbangan yang positif sebagai pengundi.

PEDAMBA REFORMASI PENDIDIKAN
Seremban