Setiap bulan boleh dikatakan ada sahaja larian maraton dan larian amal dianjurkan di seluruh negara yang mendapat sambutan ribuan pelari. Ada yang berlari untuk menang, mahu memperbaiki rekod peribadi dan semata-mata keseronokan.

Sebagai wadah yang menyihatkan, acara larian juga merupakan platform memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat. Perkara ini dapat dilihat secara jelas menerusi penglibatan pelbagai kaum tanpa mengira batas agama dan bangsa.

Bagi yang mahu berjinak-jinak dengan sukan ini, ada beberapa panduan yang boleh diikuti untuk memastikan mereka dapat menamatkan larian dengan jayanya. Antaranya perlu memperuntukkan masa untuk tidur dan rehat mencukupi. Hal ini penting bagi memastikan prestasi masing-masing sentiasa berada pada tahap memuaskan. Minum air secukupnya serta makanan berkhasiat juga amat penting bagi mempersiapkan diri untuk acara larian. Berlari dalam jarak yang jauh sudah pastinya badan memerlukan tenaga mencukupi bagi menampung keperluan diri. Oleh itu, minum serta makanan yang bergizi tinggi amat diperlukan oleh badan bagi menghasilkan tenaga mencukupi semasa larian.

MUHAMMAD FARID MOHD. YATIM

Kuala Kangsar, Perak