Berdasarkan pengalaman saya, sambutan Aidiladha bagi anak perantauan tidak sama meriahnya seperti di tanah air.

Masakan tidak, perantau sekadar berpeluang menunaikan solat sunat hari raya sahaja.

Begitupun, ada dalam kalangan komuniti perantau seperti pelajar atau pekerja Malaysia menganjurkan majlis kenduri kecil-kecilan atau takbir beramai-ramai sama ada di Kedutaan Malaysia, di rumah atau di dewan komuniti.

Peluang berhimpun beramai-ramai sebegini memberi ruang kepada mereka melepaskan rindu terhadap sanak-saudara di Malaysia, bertukar-tukar fikiran, berkongsi suka dan duka serta sama-sama menghayati erti tersurat dan tersirat dalam pengorbanan.

Walaupun sambutan perayaan di perantauan dibuat secara sederhana tetapi jauh di lubuk hati masing-masing sedar mereka sedang melaksanakan erti pengorbanan yang bukan calang-calang nilainya.

Pengorbanan meninggalkan keluarga tercinta jauh beribu-ribu batu di tanah air kerana menimba ilmu dan mencari pengalaman di bumi asing mahupun mengangkat senjata membantu menjaga keharmonian dan keselamatan negara-negara dilanda krisis.Cukup berbeza dan unik jika dibandingkan dengan amalan ibadah korban di tanah air.

Namun, semua pengorbanan ini tetap bersandarkan kepada matlamat mendapatkan keredaan Allah SWT, membawa balik segala ilmu dan pengalaman yang ditimba di luar negara untuk dikongsi bersama dengan anak bangsa dan meningkatkan martabat negara di mata dunia.

Hari Raya Korban memberikan maksud yang cukup signifikan tentang kewajipan menunaikan tanggungjawab sebagai insan yang berguna dalam menyumbangkan kepakaran dan tenaga kepada pembangunan dan kemakmuran insan sejagat.

Sambutan Hari Raya Korban membuka pintu hati dan minda golongan perantau akan perlunya sabar, melipat gandakan usaha dan lebih gigih dalam urusan dan kerja masing-masing tanpa lupa bertawakal kepada Allah SWT.

Akhirnya, tidak dapat dinafikan menyambut Hari Raya Korban di perantauan benar-benar memupuk kesedaran maksud sebenar pengorbanan.

Untuk melaksanakan pengorbanan, seseorang perlu mengikut ketetapan dan cara yang diredai Allah SWT dan selaras dengan aspirasi agama, bangsa dan negara.

 

DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR

Universiti Sains Islam Malaysia