Isu itu telah membuka mata masyarakat berkenaan bahaya kes-kes berkaitan mental. Oleh yang demikian pelbagai perkhidmatan pengurusan emosi ditawarkan bagi membantu orang awam mengatasi masalah mental.

Antara pertolongan yang dapat dilihat adalah sesi hipnosis bersama pakar psikiatri. Namun persoalannya adakah teknik tersebut diterima dalam perspektif Islam?

Ini kerana ramai menganggap sesi hipnosis itu berkait rapat dengan amalan sihir di mana perawat boleh mengawal minda pesakit sehingga tunduk dengan semua arahan yang diberikan, seolah-olah dipukau.

Menurut Persatuan Pengamal Hipnoterapi Malaysia (AHPM), kaedah hipnosis adalah cara untuk menyelami minda dalam keadaan mental separa sedar dan ia tidak menggunakan sihir atau ubat yang memberi kesan sampingan.

Jelas mereka, kaedah rawatan tersebut adalah kaedah rawatan saintifik, tiada sebarang amalan sihir atau ilmu hitam digunakan.

Ia berkaitan teknik bagaimana menguasai minda dan kelakuan seseorang agar dapat melakukan apa sahaja arahan yang diberi.

Ada sesetengah ulama mengharamkan perbuatan tersebut kerana mengikut pendirian mereka, hipnosis dalam bahasa Arab adalah at-Tanwim al-maghnathisi’ atau ‘at-Tanwim al-Ija’i.

Ia bermaksud seseorang melakukan perbuatan hipnosis akan meminta bantuan jin dalam melaksanakan teknik tersebut. Jika jelas melibatkan pertolongan makhluk halus, pasti ia merupakan satu ritual bercanggah dengan Islam.

Pun begitu, ada juga sesetengah ulama yang berpendapat penggunaan teknik tersebut dibolehkan dalam bidang perubatan kerana merasakan ia hanyalah satu proses untuk memberi semangat positif dalam sistem badan.

Ini seterusnya membantu memberi kesembuhan yang lebih baik kepada pesakit yang mempunyai masalah berkaitan.

Tambahan pula bukan mudah untuk melaksanakan proses hipnosis kerana jika mereka hilang fokus kaedah itu pasti tidak akan menjadi.

Hipnoterapi ini juga diperkatakan sebahagian dalam bidang ilmiah yang perlu dipelajari dan tidak semestinya berhubungan dengan jin.

Menolak kenyataan bahawa teknik hipnoterapi adalah (Tanwim Ija’i) hukumnya adalah boleh jika untuk perubatan dan ia juga berdasarkan niat pelaku teknik itu sendiri.

Pendapat tersebut seterusnya menyingkap bahawa terdapat beberapa percanggahan pendapat ulama mengenai isu teknik hipnosis dalam perspektif Islam.

Bagaimanapun sebagai orang Islam sering diingatkan bahawa ‘Islam itu mudah’, oleh yang demikian, pakar psikiatri haruslah bertindak bijak dalam menguasai teknik tersebut supaya tidak terpesong akidahnya.

RAMIEZA WAHID
Klang