Penguatkuasaan tersebut - dengan merobohkan struktur dan memusnahkan tanaman, telah dan akan dijalankan ke atas 61 kebun melibatkan keluasan kira-kira 55 hektar dalam kawasan tadahan air Terla, Mukim Ulu Telom. Fasa pertama melibatkan 11 kawasan telah pun dilaksanakan bermula 25 Februari lalu hingga pertengahan Mac ini, manakala fasa kedua melibatkan 50 kebun lagi akan bermula 1 April ini.

Tiba-tiba sahaja, Ramasamy muncul di tanah tinggi itu baru-baru ini - seolah-olah sudah hebat menjagai kebajikan rakyat negerinya sebelum ini; untuk menjuarai pula kebajikan pekebun-pekebun berkenaan. Lalu tergamak mengkritik Wan Rosdy hingga menyuruh beliau meletakkan jawatan atas alasan kononnya tindakan penguatkuasaan ke atas kebun-kebun haram terbabit adalah bermotif politik.

Sedangkan dari awal lagi Wan Rosdy menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan berkenaan ekoran pekebun-pekebun terbabit telah mengerjakan kebun-kebun tersebut di dalam kawasan tadahan air Terla hingga mencemarkan alam sekitar serta air Sungai Ichat. Oleh kerana pencemaran tersebutlah maka loji rawatan air (LRA) yang dibina dan beroperasi sejak 2007 sepatutnya memperoleh sumber air mentahnya dari kedua-dua Sungai Ichat dan Sungai Terla berhampiran, terpaksa bergantung kepada Sungai Terla sahaja.

Pencemaran di Sungai Ichat terutamanya – pada satu bahagian sepanjang kira-kira 200 meter telah berlaku pencerobohan melampaui zon penampan di kedua-dua belah tebingnya, yang telah dilaporkan sendiri oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Parit dan Saliran (JPS). Sungai Terla yang menjadi penyumbang tunggal kepada LRA Terla ialah penyumbang 70 peratus bekalan air terawat kepada penduduk Cameron Highlands, kini pun sudah menghadapi masalah kekurangan air mentah.

Oleh itu, keperluan air mentah dari Sungai Ichat sangat diperlukan untuk turut diproses oleh LRA Terla. Sebelum air mentah dari Sungai Ichat dapat dan selamat digunakan, pemulihan Sungai Ichat tentu perlu dilaksanakan dan ini akan mengambil masa sebelum air sungai tersebut boleh digunakan.

Langkah pertama ke arah itu ialah dengan keputusan kerajaan negeri untuk tidak lagi membenarkan pembaharuan lesen menduduki sementara (TOL) yang sah lakunya setahun sejak 2017 dan susulan itulah, kerja-kerja penguatkuasaan perlu dilaksanakan.

Mengenai TOL ini, Ramasamy juga mempertikaikan bagaimana pekebun-pekebun ini baru sekarang boleh menjadi masalah kepada kerajaan negeri sedangkan mereka kononnya telah mengerjakan kebun-kebun berkenaan sejak lebih 60 tahun lalu.

Dalam hal ini, Ramasamy mungkin tidak dimaklumkan oleh pekebun-pekebun yang dijuarainya itu betapa asalnya di atas tanah yang dicerobohi, TOL memang ada dikeluarkan. Yang paling awal menurut Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands ialah pada 1993 atau hanya 26 tahun lepas.

Pada suatu ketika selepas itu, bilangan TOL yang dikeluarkan menjadi 50 yang dikeluarkan atas nama ketua-ketua keluarga berkenaan sahaja. Bagaimanapun kemudian didapati pada setiap TOL yang dikeluarkan itu, terdapat lebih daripada seorang yang mengusahakannya, turut meliputi anak-anak sudah dewasa serta sanak-saudaranya.
Soalnya, jika mereka mengikuti syarat-syarat ketat yang dikenakan pada setiap TOL, menurut seorang pegawai pertanian setempat, tentu tidak menjadi masalah terutamanya berkaitan dengan usaha agar alam sekitar tidak tercemar dengan kerja-kerja pertanian yang dijalankan.

Antara syarat-syarat itu ialah ketidak-benaran mendirikan struktur-struktur kekal serta keperluan mengkhaskan kawasan melupuskan sampah-sarap di atas tapak-tapak berkenaan, serta kewajipan menggunakan racun-racun serangga perosak yang dibenarkan.

Sungguhpun ada yang akur termasuk pekebun kecil mahupun pengusaha besar tetapi ada dalam kalangan mereka yang ingkar, yang akhirnya menyebabkan Sungai Ichat dengan zon penampan di kedua-dua belah tebingnya turut dicerobohi, telah tercemar teruk. Jadi, apakah lagi alasan serta ‘serangan’ Ramasamy selepas ini agaknya, demi menegak benang yang basah?

YOPE KEY-DARE,

Kuantan