Apabila saya terbaca berita mengenai pelantikan wakil rakyat Melayu daripada DAP sebagai ahli lembaga pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), saya langsung tidak terkejut, cuma berasa sedih kerana sekali lagi menteri Melayu beragama Islam sendiri yang membenarkan campur tangan DAP dalam institusi Islam.

Wakil rakyat Melayu daripada DAP itu hanya ‘pasu bunga’ yang mana jiwa dan tindak-tanduknya dipercayai berlandaskan arahan pihak atasan DAP.

Apa yang saya risau dan khuatir adalah kepemimpinan DAP yang tidak ada roh Melayu, Islam dalam diri mereka akan mengabaikan dan menggugat kepentingan Islam dan kedudukan Melayu dalam Yadim.

Sebelum lebih banyak institusi Islam lain dilibatkan ahli-ahli DAP, saya menggesa menteri berkenaan agar menarik balik pelantikan berkenan.

Gesaan ini bagi meredakan kegelisahan umat Islam dan orang Melayu yang semakin keliru dan marah dengan tindakan DAP yang campur tangan dalam institusi Islam.

Cukup-cukuplah menggunakan peruntukan khas menteri kewangan untuk menderma jutaan ringgit kepada kolej Cina tatkala negara kononnya mempunyai hutang yang cukup tinggi. Kini menteri berkenaan pula membiarkan DAP campur tangan dan menguruskan institusi Islam seperti Yadim.

Gagasan Tiga (G3) yang merupakan gabungan lebih 53 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan terus bersuara atas pegangan prinsip Rukun Negara dalam perjuangan selain mahu memartabatkan kedudukan agama Islam dan masyarakat Melayu.


AMRAN AHMAD NOR
Timbalan Pengerusi G3