Adakah anda masih ingat siapa guru pertama yang mengajar anda? Sudah pastilah anda tidak lupa bukan? Dia ialah ibu anda. Usah lupa juga siapa yang mengajar anda mengenal kepayahan hidup, bermain lasak dan sebagainya? Ayahlah jawapannya. Adik-beradik juga sering membantu semasa kita kecil bukan? Lupakah bagaimana kakak membantu anda bermain masak-masak? Abang pula mengajar berenang dan mandi sungai hingga semua dirotan ayah! Masih ingatkan?

Justeru, usah dilupakan budi baik dan jasa kedua orang tua dan adik-beradik yang sentiasa memberikan terbaik dalam kehidupan kita. Mereka tidak lupa dan tidak jemu-jemu membimbing agar kita menjadi terbaik dalam apa juga yang kita lakukan.

Hari mengingati orang-orang penting dalam kehidupan kita termasuk Hari Guru boleh sahaja sentiasa kita raikan. Malah sentiasa menghormati guru sangat-sangat dituntut dalam Islam.

Pun begitu, mutakhir ini kita dapati sebilangan anak muda yang merasakan tidak perlu untuk menjaga adab terhadap cikgu termasuk pensyarah yang merupakan guru di universiti. Sebagai seorang pelajar, wajar untuk mereka mendidik sendiri untuk terus menjaga adab dan akhlak supaya ilmu yang diperoleh mendapat keberkatan dan kekal bermanfaat dalam diri.

Sebagai anak murid, biarlah kita nampak miskin dari segi harta, janganlah pula miskin adab dan akhlak. Sebagai ibu bapa pula, biarlah kita berperanan dengan sentiasa mengingatkan anak-anak supaya terus menghormati, menghargai dan mendoakan guru.

Terima kasih kepada semua pensyarah universiti, guru-guru sekolah menengah, rendah mahupun tadika, ustazah dan semua yang pernah menjalankan peranan sebagai pendidik kepada semua anak bangsa.

SUHANA MOHAMED

Universiti Teknologi 
Mara (UiTM)

Kampus Pasir Gudang