Walaupun DAP menyatakan bahawa mereka bukan parti berasaskan kaum seperti MCA ataupun Gerakan, pada hakikatnya kesemua kerusi yang ditawan mereka kebanyakannya hasil pengundi Cina.

Pendekatan politik DAP sering menjadi pertikaian dan menimbulkan kontroversi kerana pemimpinnya dilihat gemar mengapi-apikan penyokong mereka terutama sekali dalam kalangan kaum Cina dan India.

Kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menangani isu semasa serta keresahan yang memuncak dalam kalangan pengundi bukan Melayu telah membuka peluang besar kepada DAP untuk menukar kerajaan.

DAP juga licik melemparkan tuduhan bahawa parti-parti komponen BN, iaitu MCA, Gerakan dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) malah MIC adalah pembelot kerana sanggup menggadaikan kepentingan kaum sendiri untuk agenda peribadi masing-masing.

Parti-parti tersebut sering dikutuk kerana dituduh bersekongkol dengan kerajaan yang kurang berintegriti. Kebanyakan pengamal politik bukan Melayu akhirnya tewas di tangan pencabar-pencabar hebat daripada DAP dalam pilihan raya umum. Pada dasarnya, taktik dan strategi politik DAP itu amat efektif dan berjaya.

Sokongan undi Melayu juga tidak lagi statik kepada parti-parti Melayu seperti dahulu kerana pandangan politik bagi pengundi-pengundi Melayu sudah banyak berubah. Khususnya pengundi muda, mereka tidak lagi bersifat perkauman dan mahu mengejar kemajuan.

Dalam proses mengejar kemenangan, soal moral dan integriti tidak lagi dititikberatkan dan ramai dalam kalangan pemimpin kontroversi mereka dipercayai meniru budaya dan tingkah laku ahli politik dari Taiwan yang sering menggunakan gaya bahasa sinis bersulam hinaan untuk menjatuhkan imej parti lawan di sana.

Penceramah-penceramah DAP didapati sangat gemar menggunakan kata-kata sinis, tajam dan kesat untuk mencela dan menyindir pemimpin-pemimpin BN.

Orang ramai pula dilihat sangat tertarik dengan teknik ceramah politik seperti itu kerana gaya bahasa dan sindiran yang digunakan bukan sahaja lucu tetapi juga menghiburkan.

Kata-kata sindiran dalam dialek Kantonis serta dialek lain digunakan sewenang-wenangnya untuk mempersendakan dan menjadikan bahan tawa musuh politik. Dari nama, warna kulit, saiz badan, rupa paras, keturunan sehingga jawatan yang dipegang semuanya dijadikan bahan lawak jenaka demi mencapai matlamat yang ingin disampaikan.

Sebenarnya, persembahan ceramah DAP dalam bahasa Melayu amat berbeza berbanding persembahan yang disampaikan dalam bahasa ibunda mereka. Oleh yang demikian, strategi ini mendatangkan impak dan pengaruh berbeza. Tapi topik atau isu dibawa adalah sama.

Walau bagaimanapun, komuniti cendekiawan Cina di Malaysia berpendapat, pendekatan politik sebilangan besar pemimpin DAP sedemikian adalah rendah mutunya dan sangat bertentangan dengan nilai-nilai peradaban baik budaya masyarakat Tionghua.

AWANG CAHAYA

Kuala Lumpur