Objek itu lalu terpelanting ke arah kereta anak saya dan mengakibatkan cermin kereta dan bumbung sisi terkoyak, pecah dan berlubang. Laporan polis telah dibuat di pekan Gurun dan laporan kepada pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS) juga dibuat di susur keluar Alor Setar Utara/Langgar.

Selepas kejadian tersebut, anak saya ada menghubungi PLUS sebanyak tujuh kali tetapi jawapan yang diberi cuma ‘masih dalam siasatan’.

Lebih tiga bulan ‘masih dalam siasatan’ berlarutan sehinggalah saya terpaksa campur tangan dan akhirnya saya dapat bercakap dengan seorang pegawai perempuan yang menolak mentah-mentah tuntutan itu.

Sememangnya saya menuntut pampasan daripada PLUS kerana gagal memastikan sebarang bendasing yang berbahaya kepada pengguna berada di atas lebuh raya tetapi jawapan daripada pegawai tersebut adalah tidak munasabah.

Dia mengatakan pegawai PLUSRonda baru sahaja meronda di kawasan berkenaan sebelum kemalangan berlaku dan mungkin objek tersebut tertanggal dari kenderaan lain.

Pada pemerhatian anak saya, objek tersebut memang berada di atas lebuh raya dan terpelanting apabila bergesel dengan tayar kereta pemandu di hadapan.

Beribu-ribu kenderaan melalui kawasan berkenaan walaupun selepas PLUSRonda membuat rondaan. Saya ingin membuat tuntutan sebagai seorang pengguna dan dalam artikel PLUS - cara claim, pihak PLUS ada menyatakan kenderaan yang melalui lebuh raya telah diinsuranskan.

Saya harap tuntutan ini mendapat perhatian daripada pihak atasan PLUS pula selepas ini.

MENCARI KEADILAN