Ia hanya memberi ruang kepada parti politik untuk mendekati mahasiswa secara langsung sedangkan rata-rata mereka mempunyai arah perjuangan dan ideologi yang tersendiri.

AUKU yang telah dipinda itu masih sama seperti dahulu iaitu menyekat mahasiswa daripada mengurus organisasi secara autonomi kerana masih ada peruntukan yang bersifat menghalang seperti Seksyen 15A(1) yang menyatakan mahkamah universiti masih di bawah kuasa individu lantikan politik (naib canselor) dan Seksyen 24C pula menyatakan kekebalan naib canselor serta ahli lembaga daripada tindakan undang-undang.

Kami juga menentang sekeras-kerasnya peruntukan yang mengikat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) oleh pihak lembaga universiti seperti yang termaktub dalam Seksyen 48(1A). Apa yang menjadi tuntutan kepada gerakan mahasiswa adalah kebebasan untuk berorganisasi dan bukannya kebebasan untuk berpolitik secara kepartian kerana majoriti anak muda khususnya mahasiswa hari ini menolak politik kepartian.

Sepatutnya dengan kuasa politik yang ada, kerajaan mesti memansuhkan segala seksyen yang menekan mahasiswa daripada bebas berorganisasi dan memberikan kepada kami kuasa untuk mengurus masyarakat kampus secara autonomi.

Alasan tidak cukup masa untuk membuat pindaan berkenaan adalah helah politik semata-mata. Tempoh masa kerajaan baharu yang telah memerintah selama enam bulan sepatutnya lebih daripada cukup untuk mengkaji dan meminda peruntukan dalam AUKU yang menyekat kebebasan mahasiswa.

Kami menyeru kepada kerajaan agar menilai kembali pindaan yang sangat tidak bertanggungjawab itu dan hanya memberi kelebihan kepada parti politik. Pinda segera seksyen-seksyen lain yang selama ini membelenggu dan menyekat kebebasan mahasiswa.

MUHAMMAD FAIZZUDDIN MOHD. ZAI

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis)