Salah satunya adalah menyimpan wang tunai bermula dari sekarang agar kita bersedia untuk berbelanja dan bersedekah sepanjang kita berpuasa nanti.

Saya juga ingin mengesyorkan supaya kita merancang membeli kelengkapan pakaian untuk sambutan 1 Syawal bermula sekarang, sama ada Februari atau Mac agar kita tidak bersesak-sesak membeli belah pada saat-saat akhir menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Berdasarkan pengalaman sendiri pada tahun lepas, saya selesai membeli belah dua bulan sebelum Ramadan.

Dengan kaedah ini, kita dapat memanfaatkan sepanjang sebulan berpuasa dengan aktiviti beribadat dan kerja-kerja kebajikan, bukannya memikirkan baju, seluar, kain atau kasut jenama apa yang perlu dibeli.

Membeli pada saat-saat akhir menyebabkan pilihan terhadap produk yang diinginkan menjadi terbatas.

Sebagai orang Islam, saya juga ingin menyarankan persiapan kita dari konteks rohani iaitu bermula sekarang. Kita berlatih berpuasa sunat misalnya pada Isnin atau Khamis sebagai persediaan asas menyambut 1 Ramadan.

Ini supaya kita tidak lagi lesu dan letih di pejabat atau tempat kerja sepanjang Ramadan kerana pada bulan lain kerap berpuasa sunat.

Dari sudut psikologi serta biologi, tubuh kita telah bersedia untuk berpuasa penuh 30 hari. Keadaan sebaliknya apabila tubuh penat dan mengantuk pada Ramadan sekiranya latihan tidak dibuat dari sekarang.

Saya berharap penulisan ringkas ini yang berasaskan pengalaman sendiri memberi tip dan manfaat kepada khalayak pembaca Utusan Malaysia, insya-Allah.

HAMBA ALLAH

Kajang