Setelah bertahun-tahun para pelajar ini membuat persediaan, berhempas pulas belajar di sekolah, menghadiri kelas tambahan, kursus intensif menjawab soalan dan sebagainya, inilah masa dinanti-nantikan bukan sahaja oleh calon UPSR, bahkan seluruh warga pendidik, ibu bapa, keluarga dan masyarakat.

Sebagai ibu bapa dan keluarga, kita berperanan besar untuk membantu calon UPSR ini menjawab soalan peperiksaan dengan sebaik mungkin pada minggu depan.

Paling penting, kita berperanan mengingatkan anak-anak supaya memastikan mata pelajaran apa yang akan diduduki pada setiap hari sepanjang minggu peperiksaan itu.

Selain itu, anak-anak perlu dihindarkan daripada sebarang tekanan seperti pertengkaran dan krisis dalaman keluarga kerana perkara itu mampu mengganggu persediaan dan menghilangkan fokus mereka untuk menduduki peperiksaan.

Jangan menakut-nakutkan anak-anak dengan meletakkan harapan setinggi gunung atau mengancam untuk menghukum mereka andai keputusan peperiksaan tidak memuaskan.

Sebaliknya, berikan kanak-kanak berkenaan kata-kata semangat dan perangsang supaya mereka sentiasa bermotivasi dan tenang sepanjang musim peperiksaan itu.

Bantu anak-anak kita menyediakan segala peralatan untuk menjawab soalan seperti alat tulis, dokumen yang perlu dibawa dan seumpamanya supaya tidak timbul situasi panik apabila ada barangan tidak dibawa walhal mereka sudah duduk dalam dewan peperiksaan.

Sediakan makanan berkhasiat dan mencukupi kepada anak-anak atau lebih baik lagi dengan memberikan mereka vitamin yang mampu membantu kanak-kanak itu kekal sihat dan bertenaga.

Elakkan anak-anak makan makanan tidak berkhasiat dan boleh menyebabkan rasa kurang selesa kepada tubuh.

Pastikan anak-anak tidur awal pada malam sebelum hari peperiksaan dan jangan lupa untuk tetapkan penggera jam loceng untuk bangun keesokan harinya. Pastikan anak-anak kita tidur secukupnya.

Elok juga diikuti saranan pakar-pakar motivasi pendidikan supaya ibu bapa dan keluarga melakukan solat hajat dan berdoa sebanyak mungkin agar kanak-kanak terbabit beroleh kejayaan.

Adalah digalakkan ibu bapa berpuasa sepanjang minggu peperiksaan itu kerana doa individu berpuasa itu mustajab dan diterima Allah.

Ibu bapa juga boleh melipatgandakan amalan bersedekah dan beramal jariah dengan pahalanya disedekahkan kepada anak-anak yang sedang menduduki peperiksaan.

Ada ibu bapa mengambil cuti sepanjang musim peperiksaan sebagai tanda sokongan mereka kepada anak-anak. Langkah ini akan memberi isyarat kepada kanak-kanak itu bahawa keluarga sentiasa berada di belakang mereka pada saat susah dan senang.

Semoga sokongan padu kita sebagai ibu bapa dan keluarga akan menjadikan anak-anak kita kekal positif dan bermotivasi untuk menduduki UPSR sekali gus mendapat keputusan cemerlang.

DR. KHAIRUNNEEZAM 
MOHD. NOOR
Universiti Sains Islam 
Malaysia (USIM)