Dalam permohonan tersebut, mereka mendakwa larangan itu bercanggah dengan Perlembagaaan Persekutuan kerana merokok bukan aktiviti jenayah serta perokok mempunyai hak sama rata dengan golongan tidak merokok untuk mengunjungi premis makanan.

Persoalannya di sini, adakah larangan merokok di premis makanan menyekat kebebasan asasi perokok? Undang-undang diwujudkan untuk melindungi seseorang daripada sesuatu, bukan untuk mendiskriminasi.

Kenyataan larangan merokok menyebabkan perokok dilayan tidak sama rata oleh Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok adalah tidak tepat kerana larangan tersebut tidak bermaksud golongan perokok tidak dibenarkan mengunjungi mana-mana premis makanan.

Sebaliknya mereka bebas untuk berada dalam premis makanan, sama dengan golongan tidak merokok. Selain undang-undang jenayah umum, umat Islam juga terikat dengan jenayah syariah.

Ini di mana Seksyen 9 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 menjelaskan mana-mana orang yang bertindak dengan cara yang menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam, Majlis atau Mufti, yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa, adalah melakukan suatu kesalahan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam telah memutuskan bahawa tabiat merokok itu adalah haram.

Memperjuangkan perkara yang haram adalah satu jenayah yang perlu dibendung. Mereka seharusnya diambil tindakan kerana telah melanggar Seksyen 9 tersebut dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Mempertahankan larangan merokok di premis makanan bererti menjaga kemaslahatan masyarakat awam dari aspek kesihatan. Jika peraturan tersebut berjaya digugurkan, maka yang untung hanyalah industri tembakau, bukan golongan minoriti perokok.

Jika peraturan tersebut boleh dicabar, maka kebarangkalian untuk peraturan-peraturan lain mengenai tembakau untuk turut dicabar juga boleh berlaku. Sehubungan itu, pihak mahkamah haruslah bijak mengurus kes ini.

Pertahankanlah peraturan tersebut demi generasi akan datang.

DR. AHMAD FARID NAZMI ABDUL HALIM
Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia