Mungkin isu LGBT kini kian dipandang sepi, tidak seperti mula-mula ia menjadi tular suatu ketika dahulu di mana ada dalam kalangan orang Melayu Islam sendiri tanpa segan silu mula mengakui kecenderungan mereka ke arah aktiviti songsang itu.

Dalam kehidupan kita, semua yang hidup harus merasakan kewujudan Tuhan.

Ini kerana penciptaan manusia di dunia ini adalah semata-mata bertujuan untuk mengenal Allah SWT dan pengenalan terhadap lain-lain makhluk yang dicipta bersama manusia.

Jika kita soroti kisah Nabi Sulaiman a.s yang boleh memahami bahasa haiwan dan mendengar perbualan mereka yang hanya hidup untuk berzikir dan bertasbih kepada Allah SWT.

Namun, manusia masa kini terlalu sibuk dengan hal-hal dunia. Kita disibukkan dengan pelbagai urusan sehingga kadang-kala menghilangkan kewarasan dan tujuan kita diciptakan.

Namun akhirnya hanya tersedar ketika kematian datang menjemput. Dunia ini bukan tempat tinggal tetapi tempat kita meninggal.

Dunia menjadi cerita, akhirat menjadi nyata, namun ramai dalam kalangan umat Islam hari ini masih khayal dengan dunia lalu menjadikan kita lemah.

Ramai dalam kalangan umat Islam negara ini yang melihat kesenangan dunia melebihi segala-galanya termasuklah kuasa. Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi berada di puncak kuasa.

Akhirnya, segala yang dahulu milik umat Islam kini mula terlepas satu persatu dan kita terus ditindas oleh musuh.

Itu belum lagi sebilangan kita yang dipasak fikirannya dengan pelbagai ideologi songsang, liberal dan bermacam-macam lagi yang sememangnya langsung tidak menepati fitrah sebagai manusia.

Sedarlah kita sebagai umat Islam di negara ini sedang diuji dengan pelbagai ujian yang hebat, maka perlulah kita bersatu agar dapat mendepani cabaran dan ujian tersebut.

NUR IZAZI HUSSIN
Kuala Lumpur