Pada masa kini, SPRM hanya berperanan menyiasat kes melibatkan rasuah malah badan itu juga tidak mempunyai kuasa bagi memulakan sebarang pendakwaan. Hanya pihak Jabatan Peguam Negara yang mempunyai kuasa berkenaan.

Di bawah Perkara 145 Fasal (3) Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Peguam Negara ada kuasa budi bicara bagi membawa, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding mengenai sesuatu kesalahan selain daripada prosiding di Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera.

Kedudukan Peguam Negara selaku Pendakwa Raya disebutkan secara khusus dalam Seksyen 376(1) Kanun Acara Jenayah. Beberapa kes mahkamah juga boleh dirujuk mengenai perkara ini seperti kes Long bin Samat lawan Pendakwa Raya (1974) 2 MLJ 152.

Dalam kes tersebut, mahkamah telah putuskan bahawa Pendakwa Raya ada budi bicara menetapkan apa jua pertuduhan yang difikirkannya sesuai terhadap seorang tertuduh dan mahkamah tidak ada kuasa mengganggu kuasa budi bicara tersebut.

Melalui kes itu, OKT (Orang Kena Tuduh) telah dituduh menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan walaupun ada asas bagi dia dituduh dengan kesalahan menyebabkan kecederaan parah di bawah Seksyen 326 (yang membawa hukuman lebih berat jika disabitkan kesalahan).

Pihak mahkamah memutuskan bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara ada budi bicara mengawal dan mengarah semua pendakwaan jenayah - bukan setakat memulakan dan menjalankan mana-mana prosiding jenayah, bahkan juga memberhentikan prosiding yang telah dimulakannya.

Selain itu, mahkamah menegaskan ia tidak ada kuasa mempersoalkan kuasa budi bicara Peguam Negara itu, apatah lagi memaksa beliau memilih pertuduhan yang lebih berat sekiranya beliau memilih pertuduhan yang lebih ringan.

Dalam kes Karpal Singh & Yang Lain lawan Pendakwa Raya (1991) 2 MLJ 544, seorang kena tuduh (OKT) telah dituduh di bawah Akta Polis 1967 kerana mengambil bahagian di dalam perjumpaan di tempat awam tanpa kebenaran pihak polis.

Pihak Mahkamah Agung memutuskan bahawa kuasa budi bicara Peguam Negara di bawah Perkara 145 Fasal (3) itu adalah muktamad dan tidak boleh disoal atau digantikan oleh kuasa budi bicara mahkamah.

Sekiranya cadangan ini sukar untuk dilaksanakan kerana melibatkan proses pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Acara Jenayah, pihak kerajaan juga boleh mempertimbangkan cadangan memisahkan Pejabat Pendakwa Raya daripada Jabatan Peguam Negara.

Kedudukan Pejabat Pendakwa Raya yang berada di bawah Jabatan Peguam Negara kini menyaksikan konflik kepentingan. Pada satu pihak, Peguam Negara sepatutnya bertindak demi kepentingan awam dalam membuat keputusan untuk mendakwa kes-kes jenayah tetapi pada pihak lain, beliau juga adalah ketua penasihat undang-undang kepada kerajaan.

Ini akan mewujudkan konflik kepentingan khususnya dalam kes-kes yang membabitkan kakitangan kerajaan. Seiring dengan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu, sewajarnya lebih banyak kuasa diberikan kepada SPRM untuk menjalankan tugas membasmi kegiatan rasuah dalam negara kita.

Ini sejajar dengan laungan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri yang ingin memastikan gejala rasuah dalam negara dapat dibasmi dengan jayanya.

Untuk membasmi rasuah dengan jayanya, SPRM selaku agensi terpenting dalam kegiatan membasmi gejala rasuah perlu terlebih dahulu diperkasakan dengan menjadikannya sebuah agensi yang bebas daripada mana–mana pengaruh atau kawalan pihak berkepentingan serta diberikan kuasa yang lebih luas dalam membawa penjenayah ke muka pengadilan.

BEKAS MAJISTRET

Negeri Sembilan