Janganlah kerana mahu memuaskan dan mengembirakan ‘falsafah’ dan hati peneraju baharu maka semua yang berada di depan skrin tersenyum kambing menyokong dan mengaku bahawa ‘falsafah’ itu adalah ‘gerakan masa depan’ serta hala tuju pendidikan negara.

Ini bukan satu lagi ‘uji kaji’ atau eksperimen yang hendak dilaksanakan seperti sebelumnya kononnya ‘menteri baharu, kehendak baharu’. Rakyat Malaysia sepatutnya menolak idea bahawa peperiksaan tidak penting.

Ia tidak akan mengubah hakikat bahawa survival yang paling tepat adalah cara masyarakat kita distrukturkan. Pertama, kita harus bertanya soalan, mengapa pelajar memerlukan ujian dan gred?

Pengujian dan penilaian gred adalah satu cara untuk pelajar mengukur kualiti pengetahuan mereka dan juga untuk organisasi luar menyimpulkan kemampuan pelajar.

Lagipun, institusi pendidikan memberikan penghargaan yang paling berprestij semata-mata kepada yang benar-benar layak untuk menerimanya. Ini, memastikan peluang diberikan kepada mereka yang benar-benar sesuai dan berkelayakan.

Sebagai orang yang beriman, kita pasti akan diuji oleh Allah dengan pelbagai cubaan dan dugaan bagi mengetahui kualiti keimanan hamba-Nya. Kita juga akan menyedari kedaifan diri dan mengakui kekuasaan Allah melalui ujian yang ditempuh.

Walaupun ramai orang berpendapat perwatakan mengatasi kebolehan, keperibadian seseorang kebiasaannya hanya dipertimbangkan dan diambil kira selepas taraf asas kompetensi akademik mereka telah dipenuhi.

Ia juga menunjukkan bahawa seorang pelajar memenuhi keperluan disiplin dan dapat menguruskan masa dengan baik di samping mencerminkan struktur pembelajaran yang kuat dan bermakna.

Bagaimanapun, pengujian dan penilaian gred yang tidak memenuhi spesisfikasi atau kehendak tidak semestinya menunjukkan kegagalan. Mereka yang tertinggal hanya perlu bekerja dan berusaha lebih keras dalam kehidupan untuk merealisasikan potensi mereka.

Aliran akademik berfungsi sebagai batu loncatan untuk mencapai kejayaan konvensional. Pelajar masih boleh mengejar hasrat dan cita-cita dan cemerlang dalam bidang lain seperti sukan dan seni.

Saya mengakui bahawa skor tidak menentukan nilai seseorang tetapi jika tidak kepada keputusan peperiksaan, apa lagi yang harus kita gunakan untuk menilai dan mentaksir perkembangan setiap pelajar?

Pentaksiran yang dijalankan bukanlah untuk tujuan ‘menghukum’ tetapi sebagai ‘penghakiman’ untuk mengenal pasti penambahbaikan yang diperlukan. Tanggapan bahawa pengujian dan penilaian gred tidak penting adalah sesuatu yang tidak praktikal.

AZIZI AHMAD

Kuala Lumpur