Sehingga sekarang, peneroka masih tertanya-tanya tentang perkara itu kerana pengumuman dibuat tanpa disertakan butiran lengkap pelan berkenaan. Lihat sahaja dalam media sosial, dalam kumpulan-kumpulan yang dianggotai warga Felda, majoriti besar menyatakan kekeliruan mereka terhadap pelan estet ini. Malahan ramai yang membantah tindakan mencantumkan ladang-ladang mereka kepada estet.

Kekurangan maklumat ini hanya menambahkan kekeliruan peneroka yang sudah pun keliru dengan Kertas Putih Felda yang dilancarkan pada April lalu.

Adakah penggabungan ladang kepada estet ini sama seperti dimaksudkan dengan pengenalan smart farming dan precision agriculture yang diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semasa pembentangan Kertas Putih Felda?

Penulis sendiri telah bertanya kepada beberapa orang peneroka di Kawasan Felda Hulu Selangor dan ramai dalam kalangan mereka membantah konsep estet ini. Bukan semua membantah. Para peneroka sentiasa terbuka dengan sebarang cadangan daripada kerajaan terutama dalam situasi harga minyak sawit rendah pada masa ini. Cuma mereka menginginkan butiran lebih lanjut berkenaan perkara itu.

Seorang peneroka juga mengutarakan satu hujah yang perlu dipertimbangkan. Setiap peneroka mempunyai ladang seluas tiga hektar dan masing-masing menguruskan tanaman mengikut jadual sendiri.

Maka ada ladang yang tanamannya masih muda, pertengahan usia dan sudah tua. Adakah peneroka yang mempunyai usia tanaman berbeza-beza dan tidak seragam itu sanggup menggabungkan ladang-ladang mereka kepada sebuah estet besar?

Dan yang lebih penting, bagaimanakah konsep estet ini akan mempengaruhi sumber pendapatan peneroka? Adakah peneroka akan ditukar status kepada pekerja sahaja dan sekadar makan gaji?

Konsep estet ini mampu merubah nilai-nilai teras Felda yang telah diamalkan sejak penubuhannya pada 1956. Bukankah lebih elok jika kerajaan berunding dengan peneroka secara peribadi dahulu dan bukannya terus diumumkan kepada pihak awam? Jika hal itu dilaksanakan, pastinya kekeliruan yang melanda peneroka sekarang dapat dikurangkan.

HANNAH J
Perak