Sudah tiba masa semua pihak terbabit meningkatkan keazaman dan mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap perosak alam sekitar ini. Pihak berkuasa berkaitan terutama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu bekerjasama bagi memastikan pemantauan dapat dijalankan secara berterusan dan lebih kerap. Selain pemeriksaan berjadual, pihak berkuasa terbabit juga perlu mengadakan pemeriksaan mengejut di premis-premis terbabit

LEE LAM THYE
LEE LAM THYE

Pengambilan sampel perlu dibuat setiap kali pemeriksaan dilakukan agar dapat dipastikan bahan buangan pepejal, cecair dan gas tidak mengandungi toksik dan memenuhi piawaian ditetapkan di bawah undang-undang termasuk Akta Kualiti Alam Sekeliling (EQA) 1974.

Saya amat kesal dengan sikap segelintir rakyat yang masih tidak menghargai alam sekitar termasuk menjadikan longkang, sungai dan lombong sebagai tempat pembuangan dan pelupusan sampah. Secara umumnya, apa yang berlaku menunjukkan betapa rendahnya tahap kesedaran sivik rakyat walaupun pelbagai kempen kesedaran telah dianjurkan selama bertahun-tahun. Ironinya, semua ini masih berlaku tatkala majoriti rakyat melaungkan keperluan untuk berubah. Sudah tentu laungan untuk perubahan ini tidak akan membawa sebarang makna jika setiap anggota masyarakat sendiri gagal untuk membuang tabiat buruk seperti membuang sampah merata-rata termasuk ke dalam sungai.

Kelemahan aspek penguatkuasaan menjadi punca mengapa orang ramai membuang sampah sewenang-wenangnya ke dalam sungai. Aspek pertindihan kuasa antara pelbagai agensi seperti PBT, Jabatan Perparitan dan Saliran serta JAS menjadi penyebab kelemahan tersebut dan ia perlu diatasi.

Keadaan sungai yang dipenuhi pelbagai jenis sampah, sudah pasti tidak selamat untuk orang ramai melakukan sebarang aktiviti kerana boleh menyebabkan risiko keselamatan dan kesihatan

Sampah organik termasuk mayat manusia dan bangkai haiwan pula boleh menyebabkan penyebaran pelbagai jenis penyakit manakala bahan kimia dan kumbahan dari kawasan perindustrian boleh mendatangkan pelbagai risiko kesihatan serta menjejaskan kehidupan di dalam sungai terbabit. Pihak berkuasa juga perlu menilai semula kempen kesedaran alam sekitar yang telah dilaksanakan agar dapat ditingkatkan dengan lebih berkesan.

 Kebanyakan kempen sebelum ini bersifat sementara dan bermusim serta tidak mempunyai kesan jangka panjang. Program sebegini seharusnya berterusan dan melibatkan pelbagai anggota masyarakat terutamanya komuniti setempat yang boleh menjadi mata dan telinga pihak berkuasa

Kempen kesedaran juga perlu melibatkan para pelajar. Penguatkuasaan undang-undang juga perlu ditingkatkan dengan penggunaan teknologi pemantauan canggih seperti kamera litar tertutup (CCTV) dan dron.

Selain mengenakan hukuman lebih berat, hukuman khidmat kemasyarakatan seperti membersihkan kawasan terlibat juga boleh dikenakan kepada mereka yang membuang sampah merata-merata.

TAN SRI LEE LAM THYE
Pencinta alam sekitar