Esoknya, barang sudah sampai ke pintu rumah. Ini satu kaedah ‘jualan langsung’ yang hebat pada alaf baru! Memang sistem ini amat memudahkan pengguna dan tidak memerlukan kita pergi ke kompleks beli-belah dan pasar raya lagi.

Harga barangannya juga jauh lebih murah. Ringkasnya, menjimatkan masa dan menguntungkan pengguna. Namun, ada perkara yang tidak disedari, bajet rumah tangga pula boleh terjejas.

Hal ini kerana pengguna mudah terpengaruh dengan barangan yang ditawarkan. Siang malam mereka melihat senarai dan gambar barang di telefon bimbit masing-masing sebelum tidur.

Ada juga barang yang bukannya keperluan, tetap mereka hendak beli.

Hal ini boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga dengan perbelanjaan yang bertambah dan penggunaan kad kredit tanpa kawalan.

Terdapat juga risiko jaminan kualiti, apabila barang yang dibeli tidak menepati kehendak pengguna. Selain itu, saiz barang, warna dan gambaran barang sebenar mungkin tidak sama seperti dalam katalog.

Pengguna yang kecewa terpaksa akur apabila sudah menerima barang dan kemungkinan menjadi pembaziran sahaja.

Tidak hairanlah syarikat kurier juga mendapat keuntungan besar apabila berjuta-juta pengguna membuat pesanan dalam talian.

Hinggakan ada barang dihantar dua tiga kali sehari ke sesebuah rumah pengguna. Pada saya, kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi mendidik pengguna supaya bijak berbelanja.

Kita tidak mahu pengguna terperangkap dengan strategi perniagaan jualan langsung ini sehingga menjejaskan kewangan keluarga dan membawa bencana kepada pengguna.

Malah, golongan pelajar dan mereka yang masih belum berumahtangga juga mudah terperangkap dengan sistem jualan langsung ini. Kita bukannya dengki dengan syarikat jualan tempatan dan antarabangsa yang dikatakan mampu mengaut keuntungan sehingga jutaan ringgit setiap hari.

Kita mahu mereka lebih telus dan bertanggungjawab agar kepentingan pengguna dapat dijaga.

Kementerian berwajib juga boleh mengadakan kempen berhemah berbelanja dalam talian bagi menjaga kepentingan pengguna.

MUSTAFFA SIRAJ

Batu Pahat