Sewaktu hendak berucap menggunakan bahasa Inggeris walaupun hanya sepatah perkataan ketika perbahasan di Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara, mereka mulakan dengan ungkapan ‘dengan izin’, lepas itu barulah disebutkan perkataan atau ayat dalam Inggeris itu.

Amalan begini difahami telah dipraktikkan sejak persidangan pertama Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) pertama tahun 1959 hingga PRU Ke-14 (PRU-14), Mei 2018 lalu.

Difahamkan ia bertujuan menghormati kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Selepas PRU-14 suasana sedemikian dilihat tidak lagi menjadi amalan biasa oleh ahli Parlimen seperti yang ditonton secara daripada media elektronik atau menerusi petikan untuk siaran berita.

Sebagai rakyat yang berminat mengikuti siaran langsung perbahasan Dewan Rakyat dan Dewan Negara agak canggung bila mana didapati amalan tersebut yang dipercayai sebagai ‘adab’ dalam ucapan rasmi di Dewan Rakyat tidak lagi kelihatan menjadi amalan secara menyeluruh.

Juga timbul tanda tanya sama ada ia telah diganti dengan ‘tata cara’ baharu yang tidak lagi memerlukan penggunaan ungkapan tersebut ?

Jika benar begitu maka ia dirasakan tidaklah begitu baik untuk negara yang sama-sama kita sayangi ini, sementelahan bahasa Melayu telah termaktub dalam Perlembagaan.

Perkara 152 sebagai Bahasa Kebangsaan atau bahasa rasmi negara seperti mana persetujuan bersama pemimpin-pemimpin terdahulu sewaktu proses perjuangan menuntut kemerdekaan daripada penjajah.

Oleh itu sebagai rakyat biasa, saya ingin memohon jasa baik semua pihak agar amalan tersebut dipraktikkan semula secara berterusan.

Ini bukan sahaja demi meraikan kedudukan bahasa kebangsaan di sisi Perlembagaan Persekutuan tetapi juga ia kelihatan cukup manis dan berhemah dalam ukuran budaya rakyat Malaysia.

CHU MAN,

Pendang, Kedah