Sebelum ini, seorang penduduk di Sungai Petani mendakwa dipukul kerana merakamkan video operasi sebuah kilang kitar semula haram berdekatan kediamannya. Fenomena ini adalah sesuatu yang amat menakutkan.

Pengilang bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, tetapi turut membahayakan nyawa penduduk apabila berkelakuan ganas untuk menakutkan pemberi maklumat.

Apa yang menghairankan, jika penduduk tempatan boleh tahu operasi kilang haram berkenaan, kenapakah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri tidak tahu? Kerajaan sering mengulangi pendiriannya untuk menangani sampah haram dari negara asing, namun realitinya kilang kitar semula sisa plastik haram masih beroperasi dengan bebas.

Adakah ini bermakna kerajaan hanya pandai berjanji tetapi tidak akan melaksanakannya? Kerajaan Pusat wajar meminta kerajaan negeri Kedah menjelaskan kenapa kilang haram tersebut masih tidak ditutup. Jika kilang haram itu masih beroperasi, nyawa penduduk akan terus terancam.

TAN CHEE HIONG
Timbalan Ketua Pemuda MCA