Ini boleh dilakukan dengan proses pemantauan serta tampil berani melaporkan sebarang kegiatan salah laku tersebut kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan.

Orang ramai perlu sentiasa peka dengan keadaan di sekeliling mereka serta perlu sentiasa rajin bertanya sekiranya terdapat sebarang perkara mencurigakan dan tidak masuk akal.

Antara perkara yang boleh memberi kecurigaan kepada orang ramai ialah gaya hidup mewah luar biasa atau keterlaluan yang sering dipamerkan seseorang.

Gaya hidup mewah luar biasa atau keterlaluan yang ada pada mana-mana individu tanpa sebab munasabah mengenai punca kekayaan dan kemewahan dimiliki mereka selalunya mengundang syak wasangka atau perasaan curiga kepada semua pihak yang mempunyai akal fikiran waras.

Malangnya kebanyakan rasa dan perasaan tersebut hanya menjadi buah mulut serta gosip semasa yang tidak membawa sebarang makna.

Oleh itu, adalah baik sekiranya disalurkan kepada pihak berkuasa berkaitan seperti PDRM atau SPRM untuk siasatan lanjut. Jika terdapat bukti mencukupi, pihak berkuasa terlibat boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang disyaki di mahkamah.

Perlu diketahui, kebanyakan kes rasuah serta penyalahgunaan kuasa melibatkan wang selalunya memberi kesan terhadap gaya hidup diri pelaku serta ahli keluarga rapat mereka.

Sudah menjadi fitrah setiap manusia untuk berbelanja serta menikmati gaya hidup lebih selesa setelah memiliki sejumlah wang.

Kebanyakan pelaku yang terlibat dalam jenayah rasuah serta salah guna kuasa akan mudah tergoda untuk berbelanja wang yang mereka peroleh serta gemar menunjuk-nunjuk segala kemewahan yang dimiliki.

Dengan wujudnya media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Instagram dan Twitter, segala usaha untuk tunjuk-menunjuk akan menjadi lebih mudah.

Oleh demikian, orang ramai perlu tampil berani melaporkan sesuatu perkara yang mencurigakan pada pandangan dan pemikiran mereka kepada pihak berkuasa.

Sekiranya terdapat kes kukuh untuk pendakwaan, perubahan semacam individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah atau penyalahgunaan kuasa boleh digunakan kelak sebagai salah satu bahan bukti berdasarkan keadaan di dalam mahkamah seperti diperuntukkan di bawah Akta Keterangan 1950 [Akta 56].

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)