Pada masa sama, cukai produk tertentu dapat menjamin tahap kesihatan rakyat negara kita. Antara yang perlu dinaikkan adalah cukai rokok. Memandangkan terdapat berjuta rakyat negara ini yang ketagihan merokok, kenaikan cukai terhadap rokok pasti dapat menampung hasil kerajaan yang hilang selepas terhapusnya cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Demi menjaga kesihatan rakyat negara ini dalam jangka panjang, adalah penting supaya sebarang bahan atau barangan yang boleh mengundang ketagihan serta membawa kepada masalah kesihatan diberi peningkatan cukai yang mendadak.

Ini akan memberi tekanan dari sudut psikologi serta beban kewangan terhadap mereka yang ketagih dengan penggunaan bahan atau barangan yang berbahaya terhadap kesihatan diri dan orang di sekeliling.

Umum telah pun mengetahui mengenai bahaya yang datang akibat daripada aktiviti ketagihan merokok terutamanya dari sudut kesihatan. Bahaya yang hadir daripada merokok bukan sahaja akan mengundang bahaya kepada si perokok malah kepada orang sekeliling yang terdedah kepada asap rokok.

Pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan sebelum ini terutamanya melalui Kementerian Kesihatan yang memberi pendedahan serta kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya merokok melalui iklan-iklan serta penguatkuasaan undang-undang berkaitan larangan merokok.

Namun, ianya ibarat mencurah air di daun keladi. Langkah menaikkan cukai bagi barangan yang berasaskan tembakau seperti rokok perlu diberi perhatian yang serius oleh kerajaan baharu kerana ia sedikit sebanyak dapat membendung penjualan serta ketagihan merokok dalam kalangan rakyat terutamanya generasi muda.

Jika cukai terhadap rokok dinaikkan, sudah pasti harga rokok akan dinaikkan. Jika harga rokok sudah dinaikkan, individu yang terlibat akan mula berfikir banyak kali sebelum mereka membeli rokok.

Cadangan kenaikan cukai terhadap rokok ini bukanlah satu cadangan yang baru malah sudah terdapat pelbagai pihak terutamanya pertubuhan bukan kerajaan serta persatuan pengguna yang turut mengutarakan cadangan serupa supaya tabiat merokok dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Cadangan untuk menaikkan cukai ke atas rokok ini boleh dipertimbangkan oleh pihak kerajaan di dalam proses pembentangan Bajet 2019 
yang akan datang.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

USIM