Walaupun saya bukan ilmuan Islam, saya dididik dari kecil bahawa bukan sahaja harta dan pendapatan isteri menjadi milik mereka sepenuhnya tetapi begitu juga sebahagian pendapatan suami.

Suami tidak boleh mengambil mudah dan menganggap isteri akan gunakan pendapatan mereka untuk membantu perbelanjaan keluarga malah mampu berdikari bagi memenuhi keperluan diri setiap bulan tanpa sumbangan apa-apa daripada orang lelaki.

Konsep berkongsi sepenuhnya pendapatan bulanan untuk keperluan keluarga tidak menjadi masalah jika sudah dibincangkan dan dipersetujui dari awal perkahwinan tetapi boleh jatuh haram jika menggunakan harta dan pendapatan isteri tanpa persetujuan dan kerelaannya.

Tabiat mengambil mudah nafkah zahir isteri menjadi antara punca wanita hilang rasa hormat kepada suami, seterusnya membawa kepada perbalahan mahupun perceraian.

Sekalipun tidak mampu beri banyak, duduk berbincang tentang kadar nafkah supaya tiada rasa terkilan dalam hati isteri kerana akhirnya akan menjejaskan rezeki suami dan keutuhan rumah tangga.

HAJI KAMARUL HISHAM

Kuala Selangor