Selain janji beliau tidak mahu ada unsur politik dalam universiti awam, pelantikan Setiausaha Politik Maszlee sebagai ahli Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM) juga menjadi faktor bantahan.

Tambahan pula selaku wakil rakyat, Maszlee berulang kali memungkiri janji khususnya berkenaan menghapuskan tol, pengendalian isu sijil peperiksaan bersepadu (UEC) dan lain-lain isu pendidikan negara.

Jawatan Presiden UIAM mungkin akan menyebabkan konflik kepentingan yang lebih menguntungkan universiti tersebut berbanding universiti awam lain.

Namun, ada juga yang menyokong pelantikan beliau berikutan rekod Maszlee mempertahankan kebajikan kakitangan UIAM sepanjang beliau berkhidmat di universiti itu sebelum ini.

Selaku pelajar UIAM, saya berharap Maszlee dapat menggunakan kedudukannya sebagai Presiden UIAM untuk menambah baik keadaan di UIAM khususnya kekurangan teruk pensyarah dan profesor di beberapa Kuliyyah di samping masalah infrastruktur usang.

Pada masa sama, saya harap kegemilangan UIAM dapat dikembalikan dengan segera tetapi tanpa mengabaikan mana-mana universiti awam lain.

Terpulang sama ada beliau mahu bekerja secara percuma atau mengambil imbuhan gaji bernilai jutaan ringgit setahun, asalkan nasib warga kerja dan pelajar UIAM terus terbela.

BAKAL GRADUAN

UIAM Gombak