Syabas dan tahniah juga kepada Kementerian Pendidikan kerana menerima jumlah peruntukan yang begitu besar dalam belanjawan kali ini. Saya mendapat makluman bahawa kementerian pendidikan mendapat peruntukan sebanyak RM60.2 bilion daripada keseluruhan RM314.5 bilion Belanjawan 2019.

Berdasarkan angka-angka tersebut, jelas menunjukkan kerajaan mengambil sikap bertanggungjawab terhadap bidang pendidikan yang menjadi tulang belakang dalam membina modal insan seterusnya memacu negara ke arah kegemilangan pada masa depan.

Apa yang ingin saya sampaikan dalam ruangan ini adalah berkaitan dengan kebajikan kelompok warga pendidik terutamanya tenaga pengajar di peringkat sekolah rendah dan menengah di seluruh negara mahupun institusi pendidikan lain khususnya mereka dengan kelulusan akademik selain Ijazah Sarjana Muda.

Kerajaan sebelum ini telah menggalakkan warga pendidik yang mempunyai Sijil Perguruan Asas dan Diploma Pendidikan Malaysia agar menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda bagi meningkatkan keupayaan guru dalam melonjakkan martabat pendidikan di mata masyarakat.

Dalam masa yang sama, kerajaan terdahulu juga menggalakkan warga pendidik menyambung pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi seperti Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) bagi memartabatkan lagi profesionalisme bidang perguruan selari dengan peredaran masa.

Bagi menyahut seruan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan, ramai guru-guru yang berani dan sanggup menyambung pelajaran ke peringkat tersebut dengan belanja sendiri di samping terpaksa membahagikan wang gaji bulanan mereka untuk keluarga dan yuran pengajian.

Malahan ada antara golongan pendidik ini sanggup menghabiskan wang simpanan mereka semata-mata untuk membiayai pengajian tinggi sama ada di universiti dalam atau luar negara.

Apa yang boleh dilihat daripada data dan perangkaan semasa, ramai warga pendidik berjaya mengharungi keperitan untuk mendapatkan segulung Ijazah Sarjana dan PhD tetapi tidak dilantik ke jawatan yang sepatutnya dengan kelulusan mereka.

Ramai dalam kalangan mereka ini masih berada di tahap lama dan kekal sebagai ‘guru kecil’ sedangkan ramai rakan-rakan setugas yang tidak mempunyai sijil tinggi diberi tempat dan dinaikkan pangkat sebagai Guru Penolong Kanan, Guru Besar dan Pengetua di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Sedih melihat kalangan guru berkelulusan Ijazah Sarjana dan PhD ini tidak diberikan jawatan kanan yang sewajarnya. Saya berharap di bawah teraju pemerintahan Malaysia baharu ini, satu anjakan paradigma dapat dilakukan sesuai dengan era baharu pemerintahan dan pentadbiran negara.

Mohon Menteri Pendidikan dan pengurusan tertinggi kementerian mengambil sikap cakna akan hal ini sesuai dengan falsafah pendidikan negara bagi memacu serta memperkasakan pendidikan negara.

BUDIMAN MAKMUR