JABATAN Warisan Negara ditubuhkan bagi memelihara khazanah warisan negara demi memartabatkan identiti budaya bangsa masyarakat Malaysia seperti yang termaktub dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Pihak jabatan amat mengambil berat terhadap aktiviti menggali artifak tanpa lesen yang boleh menyebabkan negara kehilangan bukti sejarah penting di sesuatu kawasan. Usaha merekod sejarah negara melalui pemeliharaan akan menjadi sia-sia jika lokaliti warisan yang perlu dijaga ini diceroboh.

Kegemaran mengumpul barangan lama kini telah bertukar menjadi ‘kegilaan’ mencari artifak bersejarah.

Dengan menggunakan alat pengesan logam yang senang diperoleh dengan harga murah, artifak yang menjadi salah satu bukti penting sejarah negara kini telah menjadi sasaran peminat barangan antik terbabit.

Jika penjarahan artifak terus berlaku, dikhuatiri objek warisan negara berkenaan akan terlepas ke luar negara untuk didagangkan di pasaran gelap.

Impak terhadap penjualan artifak boleh membawa kemudaratan terhadap kronologi persejarahan dan maruah negara yang seolah-olah digadaikan pihak tidak bertanggungjawab.

Oleh itu, bagi mengelak gejala terbabit daripada terus berlaku, orang ramai perlu melaporkan penemuan sebarang artifak kepada Pesuruhjaya Warisan, pegawai yang diberi kuasa atau pegawai daerah yang berdekatan kawasan penemuan objek untuk kerja-kerja kajian lanjutan serta pemeliharaan kawasan tersebut.

Perbuatan tidak melaporkan sebarang penemuan adalah satu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Artifak yang dijumpai adalah hak mutlak Kerajaan Persekutuan dan jika objek terbabit ditemui di tanah hak milik persendirian, pampasan boleh diberikan.

JABATAN WARISAN NEGARA

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan