TH patut mendapat penghargaan itu kerana mampu memberi layanan terbaik termasuk pelbagai kemudahan kepada lebih 30,200 orang jemaah.

Contohnya, di Arafah, dalam khemah mulai tahun ini, dipasang pendingin hawa. Cukup selesa, malah turut dirasai sama di Mina. Ramai yang memuji langkah TH itu. Walaupun duduk dan tidur agak bersesak.

Dalam satu khemah besar dibahagikan pula empat ruang. Ruang yang agak terbatas itu terpaksa menempatkan jemaah haji seramai 20 orang. Cuba bayangkan betapa bersesaknya keadaan ketika itu. Bagaimana pun, kerana berada di Tanah Suci, rungutan itu terpendam. Masing-masing mengurung rungutan itu.

Manakala setiap maktab pula, di Mekah atau Madinah, yang menempatkan jemaah haji, TH menyediakan pelbagai kemudahan di situ. Ini termasuk sebuah klinik (perkhidmatan perubatan dan kesihatan), perkhidmatan kewangan seperti pengeluaran wang tunai Riyal. Juga simpanan tunai, di samping perkhidmatan dam serta korban. Pejabat Pentabiran Maktab (PPM), juga beroperasi di situ.

Perkhidmatan edaran makanan nasi dua kali sehari, turut disediakan oleh TH. Iaitu makan tengah hari serta malam. Kecuali sarapan pagi perlu belanja duit poket sendiri. Menunya, daging, ayam, ikan juga sotong. Setiap hari bergilir-gilir menu berkenaan.

Kepada TH, disarankan harus menambah satu lagi menu iaitu telur. Ada terdengar rungutan, supaya TH menambah menu berkenaan. Atau pun menggantikan menu sotong itu, kerana kurang digemari berbanding telur.

Mengenai klinik, saya telah mendapat rawatan sebanyak empat kali di klinik berkenaan.

Sekali di klinik Maktab Movenpick di Madinah, kerana diserang sakit mata. Kemudian, tiga kali rawatan susulan sakit mata serta batuk dan tekanan darah rendah di klinik Maktab 78 (Rawdhat Al-Shorouq), di Mekah.

Doktor serta petugas di klinik terbabit cukup mesra. TH amat peka menempatkan doktor serta petugas untuk mengendalikan klinik berkenaan.

Sesungguhnya TH, cukup menyenangkan kami. Kami tidak menghadapi banyak masalah besar.

TH sentiasa mengemas kini sebarang masalah yang timbul setiap tahun. Inilah yang kita kehendaki. Semoga TH sentiasa memainkan peranannya lebih berwibawa, demi keselesaan jemaah haji pada tahun-tahun akan datang.

PAKLONG,

Felda Trolak Timur, Perak.