Perkara ini merunsingkan kerana ia boleh memberikan isyarat yang tidak baik kepada rakyat Malaysia.

Berdasarkan laporan di dalam akhbar harian, rakyat Malaysia dijangka dapat berjimat sebanyak RM4 setahun jika gula dikurangkan sebanyak 10 sen.

Apa yang merisaukan adalah, tindakan ini bakal mempengaruhi kos dan juga tahap kesihatan rakyat!

Berpandukan peraturan asas ekonomi, semakin rendah harga semakin tinggi penggunaannya.

Kini, Malaysia antara salah satu negara yang menggunakan gula paling banyak dalam makanan dan minuman.

Berdasarkan tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015, satu daripada lima rakyat Malaysia yang dewasa menghidap diabetes (kencing manis).

Statistik ini melebihi unjuran Kementerian Kesihatan pada 2014, yang menjangkakan keadaan ini hanya berlaku apabila mencecah 2020.

Selain itu, penyakit obesiti yang sangat berkait rapat dengan pengambilan gula juga menjadi isu serius seperti mana dibuktikan dalam penyelidikan Kementerian Kesihatan.

Negara-negara luar seperti Brunei, Norway, Perancis, Belgium dan Britain telah memperkenalkan langkah-langkah untuk meningkatkan harga gula melalui ‘cukai gula’ dengan tujuan mengubah tabiat pengambilan gula berlebihan oleh rakyatnya.

Sebaliknya, Malaysia antara negara yang mempunyai harga gula paling rendah sedang bercadang untuk mengurangkan lagi harganya.

Tidak dapat dinafikan bahawa para peniaga akan mendapat manfaat daripada pengurangan kos perbelanjaan tetapi ia tidak memberi impak yang besar kepada perbelanjaan pengguna.

Saya percaya bahawa terdapat banyak lagi perkara yang perlu diberikan perhatian termasuklah isu perumahan, pengangkutan serta utiliti yang sudah terang lagi bersuluh mempunyai impak yang lebih besar kepada perbelanjaan harian kita.

Oleh itu, saya ingin menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula polisi berkenaan dengan harga gula untuk membina komuniti yang bergaya hidup sihat.

RAKYAT PRIHATIN

Kuala Lumpur