Sejak 10 tahun kebelakangan ini, harga lembu dan kambing meningkat mendadak seterusnya menyebabkan bilangan peserta dan haiwan korban jatuh menjunam saban tahun.

Saya masih ingat sekitar 2010 kawasan masjid di rumah saya menyembelih 12 ekor lembu sementara di kampung halaman saya di Kedah setiap masjid sekurang-kurangnya menumbangkan lima ekor lembu. Belum dikira kambing, khususnya di kampung.

Sekarang, lima ekor lembu pun sukar di kawasan bandar sementara di kampung sudah hampir tiada langsung majlis korban kecuali ada sumbangan ahli politik atau orang kaya.

Bukannya tiada yang menyertai ibadah korban, cuma mereka beralih port ke negara lain khususnya di kawasan ramai komuniti Islam yang masih hidup dalam kemiskinan seperti di Kemboja, Indonesia dan beberapa negara ASEAN mahu pun di negara bergolak seperti Palestin, Myanmar, Syria dan lain-lain.

Semuanya disebabkan harga lembu, sedangkan menteri berwajib menyatakan kerajaan tiada kuasa mengawal harga daging lembu di pasaran.

Dahulu satu bahagian sekitar RM350 kerana lembu cuma berharga RM2,000 hingga RM3,000. Sekarang, satu bahagian RM700 pun dikira murah memandangkan harga lembu sudah melangkaui RM4,500. Ini bukannya ‘lembu sado’ tetapi lembu kampung yang nampak tulang rusuknya.

Begitu juga kambing dengan harga tidak kurang RM500 untuk spesies kecil dan melangkaui RM1,000 bagi baka besar yang diimport.

Islam menyarankan ibadah korban sekiranya mampu sahaja. Jelas semakin ramai tidak mampu menjalankan ibadah korban dalam negara ini tetapi masih mampu jika diadakan di negara lain.

Di sesetengah negara mundur, lembu kecil boleh dibeli dengan harga serendah RM300 sementara ‘lembu sado’ yang sangat besar dijual pada harga bawah RM3,000.

Senario ini menjadi satu petunjuk jika harga pasaran dibiarkan tanpa kawalan, yang rugi kelak adalah peniaga sendiri sementara orang miskin penerima daging korban selama ini turut menerima tempiasnya.

Jika keadaan ini berterusan dengan peningkatan harga yang mendadak, peniaga dan orang miskin di negara lain akan terus mendapat manfaat, sementara orang miskin di Malaysia menjadi mangsa keadaan.

Lambat laun, acara korban mungkin hanya satu majlis kecil yang jarang-jarang berlaku sehinggakan generasi muda menjadi ‘jakun’.

MAKMUM MUDA

Gombak, Selangor