Golongan itu boleh menikmati hidangan tanpa perlu risau pencemaran asap rokok di sekeliling mereka. Akan tetapi perokok masih boleh merokok di kawasan tiga meter dari premis makanan yang terbuka.

Masalah yang sering menjadi bualan orang ramai akibat tabiat itu adalah pembuangan puntung rokok merata-rata sama ada di atas jalan raya, laluan pejalan kaki, longkang dan laluan anak tangga.

Bukan sahaja mencacatkan pandangan, ia juga boleh menjadi faktor kepada masalah sistem saliran tersumbat apabila jumlah puntung rokok yang dibuang terlampau banyak dan juga pencemaran alam sekitar.

Jumlah puntung rokok yang dibuang itu dianggarkan mencecah berat 1.2 juta tan metrik setiap tahun dan sudah pasti akan mencemar alam sekitar kita. Buangan puntung rokok itu boleh dikategorikan sebagai sisa pepejal yang pada akhirnya akan terdampar di tapak pelupusan sampah.

Kandungan sisa kimia puntung rokok boleh mencemarkan kawasan pelupusan sampah dan dikhuatiri akan memberi kesan kepada kesihatan manusia, haiwan dan persekitaran.

Namun puntung rokok itu sebenarnya boleh dikitar semula dan hasilnya akan mendatangkan keuntungan. Puntung rokok berkenaan boleh dikitar semula sebagai bahan binaan jalan raya, bahan membuat konkrit, batu bata dan penyerap minyak.

Sekumpulan penyelidik di Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT) di Australia menemui kaedah mengitar semula sisa buangan puntung rokok ini untuk dijadikan bahan bagi pembinaan jalan raya.

Sebagai masyarakat yang prihatin akan pencemaran alam sekitar, maka kita perlu menjadikan buangan puntung rokok ini sebagai bahan kitar semula sama seperti kertas, tin, kaca dan plastik. Kerjasama semua pihak dapat membantu dalam merealisasikan hasrat kerajaan ke arah sifar tapak pelupusan sampah.

MOHAMMAD ABDULLAH

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang