Bukan sekadar menelefon bertanya khabar, amalkan membuat lawatan mengejut ke kolej kediaman anak, lebih-lebih lagi untuk anak perempuan walaupun cuma sekali setahun.

Mengambil iktibar daripada kisah hidup seorang penduduk kampung yang juga rakan karib saya, anak perempuan yang dididik penuh adab dan agama akhirnya tumpas kepada nikmat duniawi apabila dilepaskan ke universiti.

Walaupun miskin, bapa yang tua mencari duit membeli telefon pintar demi kemudahan anak belajar tetapi sedikit demi sedikit pengaruh kawan menghanyutkan dia agar menipu ibu bapa untuk mendapat duit untuk berhibur.

Didikan agama dan adab bangsa memang tidak mencukupi sekiranya pengaruh rakan sebaya begitu besar dihadapi bersendirian setiap hari. Akhirnya, anak yang menjadi harapan keluarga pulang dengan tangan kosong.

Sayu bapa yang tidak pernah saya lihat meruntun hati walaupun bukan terkena kepada diri sendiri. Memang ada masanya kita perlu melepaskan anak-anak untuk berdikari tetapi ada masanya juga mereka memerlukan panduan dan bimbingan orang tua.

Dalam zaman serba moden ini, anak-anak muda berdepan dengan cabaran berbeza dan jauh lebih besar berbanding orang dahulu. Peranan ibu bapa itu tetap penting.

 

RASHID DERAMAN

Pendang, Kedah