Sabtu ini, satu piagam akan dimeterai menandakan kerjasama dua buah parti Melayu/Islam terbesar di negara memasuki fasa penting ke arah penyatuan ummah. Piagam UMNO-Pas boleh disifatkan sebagai satu perjanjian bertulis bagi menentukan hala tuju kerjasama pada masa akan datang. Apa yang dapat difahami, persefahaman antara UMNO dan Pas perlu distrukturkan secara jelas agar ia bukan satu kerjasama longgar dan jangka pendek seperti kerjasama terdahulu.

Untuk mencapai ke tahap ini (piagam), ia memerlukan keterbukaan dan jiwa yang besar antara kedua-dua buah parti. Dari segi sejarah misalnya, Pas pernah enggan menandatangani piagam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) secara bertulis. Piagam tersebut mengandungi lapan prinsip antaranya, Islam sebagai ad-deen, memperjuang hak orang Melayu, mempertahan institusi Raja Perlembagaan, dan konsep pembahagian jawatan dalam kerajaan APU, iaitu 60 (Pas): 40 (S46).

Mohd. Izani Mohd. Zain
Mohd. Izani Mohd. Zain 

Bagi Parti Melayu Semangat 46 yang menjadi rakan Pas dalam APU, piagam bertulis tersebut penting untuk mewujudkan persefahaman politik yang lebih teratur dan jelas. Namun begitu, Pas berpandangan sebaliknya. Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, APU tidak memerlukan perjanjian bertulis kerana apa yang lebih penting adalah niat dan komitmen daripada semua pihak. Menurutnya lagi, Islam tidak hanya bergantung kepada apa yang ditulis di atas kitab, tetapi apa yang terbuku dalam hati.

Kita percaya, sama ada Pas ataupun UMNO, mereka telah belajar daripada kekhilafan masing-masing. Perseteruan yang tidak bertebing akan merugikan orang Melayu. Seteru politik memang menantikan perpecahan politik Melayu kerana ia membuka laluan lebih mudah untuk mereka berkuasa. Lim Kit Siang dalam bukunya, BA and Islamic State (2001) mengakui perpecahan UMNO memberi kelebihan kepada parti pembangkang ketika itu untuk menambahkan sokongan.

Kerjsama UMNO-Pas bukanlah satu perkara baharu. Tulisan ini akan memberi fokus kepada tiga saranan bagaimana kerjasama UMNO-Pas dapat diperkukuhkan dan bersifat jangka panjang bertepatan dengan termeterainya piagam sabtu ini.

Pertama, kerjasama UMNO-Pas perlu diupayakan sebagai mekanisme bukan saja untuk mendapatkan semula kuasa politik tetapi bersandarkan kepada agenda Melayu/Islam yang jelas. Agenda Melayu/Islam mesti dipertaruhkan dengan pelan strategik yang tersusun, sekurang-kurangnya untuk lima tahun akan datang.

Kita khuatir, kerjasama tanpa agenda yang jelas hanyalah sekadar satu penzahiran obsesi kepada kuasa bukan cinta kepada ummah dan agama. Kedudukan kedua-dua buah parti sebagai parti pembangkang wajar dimanfaatkan untuk menyusun kembali kekuatan dan menginsafi kekhilafan selama ini.

Kedua, kerjasama UMNO-Pas banyak bergantung kepada kebijaksanaan pemimpin. Pemimpin kedua-dua buah parti mesti sentiasa menjadi penghubung yang dapat merungkaikan jika ada kekusutan dan membuka jalan kepada hubungan kerjasama yang lebih erat. Dalam UMNO misalnya, pemimpin seperti Datuk Mohamad Hassan dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilihat antara tokoh yang sentiasa menyeru kepada jalan kerjasama dalam ucapan mahupun tulisan secara rasional dan matang.

Pas juga perlu lebih kerap mengetengahkan pemimpin yang boleh meneroka jalan kerjasama dan meyakinkan akar umbi bahawa kerjasama mereka dengan UMNO perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar, bukan semata-mata siapa mendapatkan kuasa.

Tidak dinafikan, dalam banyak sejarah kerjasama politik, faktor elit politik sangat penting yang secara langsung menyumbang kepada pasang surut satu-satu hubungan. Meskipun kita tidak boleh menolak pengaruh akar umbi, peranan elit politik sangat kritikal dalam proses tawar menawar dalam kerjasama.

Ketiga, kerjasama UMNO-Pas perlu melihat soal perkongsian kuasa, dalam erti kata, memastikan Politik Melayu kekal sebagai teras Politik Malaysia dan mencari formula yang lebih segar kepada kerjasama dengan politik bukan Melayu. Tidak dinafikan, naratif politik kerjasama di Malaysia masih lagi kuat bersumberkan sejarah dan hubungan kaum.

Konsep menang-menang dalam kerjasama ini perlu dijadikan pendekatan yang akan menjamin semua pihak mendapat manfaat secara adil dan saksama. Adil itu bukanlah bermaksud sama rata, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya, atau memberi hak kepada yang berhak.

Perlu diingatkan, politik kerjasama adalah kearifan tempatan yang kita terokai sejak sebelum kemerdekaan sehinggalah kini. Kebijaksanaan pemimpin terdahulu menyusun kerjasama atas semangat tolak ansur dan muafakat untuk mengenepikan perbezaan, menyaksikan politik Malaysia terus aman dan stabil.

Pastinya banyak pihak menantikan apakah kandungan piagam kerjasama UMNO-Pas ini. Apa yang jelas, piagam ini diharap akan menzahirkan komitmen mereka untuk menjayakan kerjasama ini untuk jangka masa panjang, bersandarkan cinta (ummah) bukan obsesi (kuasa). Mungkin juga membuka satu naratif baharu kerjasama yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Sama-sama kita saksikan.

Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.