Langkah perwakilan MCA tidak tepat pada waktunya kerana apa yang perlu ketika ini adalah MCA dan semua ahlinya memikirkan jalan terbaik bagi mengembalikan kepercayaan orang Cina tanpa menjuruskan kepada konsep BN yang terbukti cekap mengurus negara selama 61 tahun.

MCA telah mula kehilangan keyakinan masyarakat Cina sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) dan masih diberikan tempat oleh pimpinan tertinggi BN untuk menjadi menteri, exco waima ahli majlis daerah. Di samping itu, kerjasama yang dibentuk dalam BN terbukti banyak membantu MCA dengan jentera UMNO dan MIC di semua peringkat bekerjasama bagi memenangkan calon daripada MCA.

Benar, kini BN bukan lagi parti yang berkuasa kecuali di Pahang dan Perlis, namun apakah kerana ketiadaan kuasa tersebut, MCA mahu mengambil jalan mudah untuk membubarkan BN? Ibarat pasangan suami dan isteri melayari bahtera rumah tangga dalam susah dan senang pastinya akan terasa manis apabila kerjasama yang erat membuahkan hasil suatu hari nanti.

Tiada yang salah dengan konsep BN, jika bersalah hanyalah segelintir pemimpin yang melakukan kekhilafan. Tindakan MCA ini hanyalah melambatkan proses kebangkitan dan peremajaan BN yang pastinya sedang direncanakan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi Hamidi dan rakan-rakan komponen BN.

HAT-HUS 1980
Selangor