Sejak 2016, akhbar ini tidak pernah mengecewakan saya dalam menyediakan sorotan mahupun imbasan di sebalik cabaran menganjurkan sesuatu acara sukan, pahit manis, suka duka perjuangan atlet terdahulu dan kini hinggalah menjadi tarikan umum ketika ini.

Itulah sebabnya saya membeli akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia supaya dapat mengumpul artikel mengenai sejarah penganjuran Sukan Olimpik, Sukan SEA, Sukan Komanwel, Bola Sepak Piala Dunia FIFA hinggalah yang terbaharu Sukan Asia, supaya dapat dikongsi bersama oleh generasi muda peminat sukan yang tidak tahu menahu mengenai prestij sesebuah kejohanan mahupun temasya tersebut.

Adalah menjadi harapan saya untuk melihat akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia dapat meneruskan sorotan mahupun imbasan mengenai sejarah penganjuran temasya Sukan Malaysia (Sukma) di samping sejarah penganjuran kejohanan bola sepak Piala Suzuki AFF, Piala Asia AFC dan juga kejohanan-kejohanan sukan terkenal yang lain pada masa akan datang.

Pada masa yang sama, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada kontinjen Malaysia yang akan memastikan sasaran kedudukan 10 teratas mampu dicapai sekali gus dapat mengelakkan sasaran tersebut menjadi bahan jenaka peminat sukan tanah air sekiranya gagal di Sukan Asia Ke-18 kelak.

PEMINAT SUKAN SETIA

Masjid Tanah, Melaka