Pelancaran teater itu disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan sendiri serta dihadiri barisan kepemimpinan kerajaan negeri telah menyerikan lagi pementasan tersebut.

Ia sebagai satu titik permulaan untuk mengembalikan kegemilangan seni dan budaya kita bukan sahaja kepada masyarakat tempatan, khususnya generasi muda, tetapi juga boleh diketengahkan sebagai satu produk tarikan pelancongan.

Seni mempertahankan diri seperti silat seharusnya diperkenalkan semula kerana ia adalah warisan turun-temurun orang Melayu sejak zaman-berzaman, bukan hanya dipamerkan sebagai simbol sahaja tetapi ‘senjata’ mempertahankan diri.

Dengan kerjasama Exco Seni dan Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan serta krew produksi dan barisan pelakon serta Persatuan Teater Anak Melayu (TAMU), teater ini dapat dijayakan dengan begitu berkesan.

Namun, perjalanan ceritanya agak berat dan banyak aksi pertarungan yang perlu diperbaiki kerana penonton di peringkat awam dan sudah tentunya penonton dalam kalangan pelancong luar mungkin kurang memahami jalan cerita yang cuba disampaikan.

Diharap kerajaan Negeri Sembilan khasnya dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Belia dan Sukan dapat membantu kegiatan seni seperti ini dari semasa ke semasa untuk dibangunkan lagi bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat global.

Semoga seni budaya kita mendapat tempat di hati orang ramai sebagai satu hiburan yang menarik dengan diberikan nafas baharu kerana diperhatikan orang awam yang begitu dahagakan kesenian dan budaya sendiri malah ia juga boleh membantu meningkatkan lagi kesedaran serta memupuk semangat rakyat Malaysia ke arah perpaduan dan keharmonian.

Bina lebih banyak auditorium supaya penggiat seni tanah air dapat menceburkan diri setiap hujung minggu terutama sekali di bandar-bandar besar serta tempat pelancongan seperti pusat peranginan di Port Dickson dan seumpamanya.

Teater bukan hanya berkisar cerita purba tetapi juga boleh dipelbagaikan terutama sekali ada kaitannya dengan sejarah tanah air atau boleh juga dibuat secara komedi atau cerita berkisar percintaan muda-mudi, malah boleh juga diadakan dalam bahasa Inggeris.

Disyorkan juga diadakan pertandingan teater dengan hadiah lumayan supaya ia dapat menarik penggiat seni menceburkan diri secara lebih berkesan lagi.

SYED ABDULLAH OSMAN JAMALULLAIL

Seremban