Janganlah memandai-mandai, mereka-reka atau mendapat sumber yang kurang jelas maka disebarkan sebagai inti ceramah kerana ia secara tidak langsung boleh merosakkan akidah umat Islam. Perlu ingat bahawa siapa yang menyakiti baginda atau cuba membawa berita palsu terhadap baginda maka ia juga menyakiti Allah dan jangan sampai mengundang kemurkaan Allah.

Mempertikaikan bacaan maulid, marhaban dan berzanji dan berselawat beramai-ramai sambil bangun berdiri dan adakan kenduri tahlil serta membaca ayat-ayat suci al-Quran di perkuburan dianggap melakukan kerja-kerja syirik dan ada yang sampai mengatakan ia semua adalah daripada ajaran Syiah. Janganlah tuduh saudara sesama Islam begitu kerana kita sama-sama ke masjid yang sama, berpuasa di bulan Ramadan yang sama, membayar zakat yang sama nilainya, menunaikan haji yang sama malahan dikebumikan di perkuburan yang sama.

Kita tidak mahu umat Islam berpecah-belah dengan berbagai tuduhan antara satu sama lain ada yang berkata orang ini Syiah, orang itu berfahaman Wahabi dan kutuk pula kumpulan dakwah serta kumpulan tarikat walaupun bawaan mereka itu ke arah kebaikan umat. Jangan anggap semuanya itu tidak betul dan anggap dirinya sahaja yang benar dan betul.

Tidak hairanlah mengapa umat Islam kita berpecah-belah dan lemah bukan sahaja umat Islam di negara ini malahan di seluruh dunia. Kini penyakit berselisih faham bagaikan identiti agama Islam dan ia berlanjutan sejak seribu tahun lalu hingga sekarang.

Perselisihan faham atau konflik jiwa umat Islam inilah menyebabkan runtuhnya empayar Islam dan akhirnya satu demi satu negara Islam tumbang sama ada kerana bergaduh dan berperang sesama sendiri dan akhirnya menjadi lemah.

Tidak hairanlah mengapa selalunya berlaku musibah seperti bencana alam di negara majoritinya penduduk Islam kerana mereka tidak lagi mengikut panduan ajaran daripada al-Quran, malahan mereka cipta undang-undang sendiri. Gempa bumi, tsunami, letusan gunung berapi dan banjir besar kini paling digeruni apabila berlaku di negara-negara Islam seolah-olah Allah memberikan peringatan kepada umat Islam supaya insaf. Budaya LGBT, budaya kuning dan ditambahkan lagi dengan meninggalkan tuntutan agama itu juga telah menjadi kemurkaan Allah.

Kembalilah kepada ajaran al-Quran yang sebenar dan kembalikan hak-hak Allah serta janganlah kita berpecah-belah. Biarlah Allah yang menentukan hukuman-Nya dan bukannya kita yang memandai-mandai kerana diri kita sendiri pun belum tahu nasib di sisi Allah.Musuh kita yang sebenarnya adalah puak Yahudi yang menceroboh bumi Palestin dan adalah kewajipan semua umat Islam untuk bersatu padu untuk membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman askar Israel.

SYED ABDULLAH OSMAN JAMALULLAIL
Ampangan, Seremban