Pada Hari Raya Aidiladha beberapa hari lalu, Masjid Tun Abdul Aziz di Petaling Jaya dibanjiri warga asing lelaki dan perempuan hinggakan jemaah yang hadir hampir separuh adalah dari kalangan mereka.

Tiap-tiap tahun saya berjemaah di masjid tersebut, saya lihat jumlah orang asing makin bertambah. Tidak keterlaluan dikatakan dalam tempoh yang terdekat, masjid ini akan berubah wajah mirip masjid di Bangladesh atau India terutamanya di musim perayaan.

Saya juga difahamkan di masjid-masjid lain sekitar Petaling Jaya bahkan di Lembah Klang keadaannya hampir sama.

Ini petanda mereka semakin ramai setelah membawa saudara-mara dan beranak-pinak di negara ini.

Persoalannya tiadakah mekanisme mengawal kebanjiran mereka ini? Ini bukan perkara baharu bahkan telah dibahaskan malah berulang kali ditonjolkan dalam khalayak ramai menerusi media massa dan elektronik.

Namun, jumlah warga asing bukan sahaja tidak berkurangan bahkan makin meningkat setiap tahun.

AHMAD SIDEK

Petaling Jaya