Terdapat kebimbangan penggunaan CCTV boleh disalahgunakan oleh pihak tertentu bagi tujuan jenayah lain melibatkan kanak-kanak dan remaja sekolah. Selain itu, ia juga akan meningkatkan kos perbelanjaan pentadbiran dan pengurusan sekolah kerana perlu mengupah pekerja bagi memantau aspek keselamatan sekolah.

Itu tidak termasuk kos tambahan bagi menyelenggara CCTV dari semasa ke semasa serta pemasangan kamera keselamatan itu di setiap penjuru sekolah. Dijangkakan pemasangan CCTV di sekolah tertentu pula akan mengundang persepsi negatif masyarakat yang beranggapan sekolah terbabit mempunyai rekod buruk.

Justeru, kajian menyeluruh perlu dilakukan termasuk mendapat pandangan pakar dalam perkara itu sebelum cadangan itu dilaksanakan. Usaha untuk mengekang gejala sosial di sekolah sebenarnya memerlukan langkah yang lebih holistik melibatkan kerjasama semua pihak seperti pengurusan sekolah, guru, ibu bapa, pelajar dan masyarakat sekeliling tanpa perlu bergantung kepada CCTV.

Lihat sahaja insiden kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang telah dirosakkan. Perkara sama juga boleh berlaku ke atas CCTV yang dipasang di kawasan sekolah. Bukankah itu pembaziran besar?

 

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Universiti Sains Islam Malaysia