Menurut laporan itu, pakar pasaran berpendapat, trend yang mengecewakan berkenaan berkemungkinan akan terus berlarutan sehingga tahun depan. Ini amat membimbangkan rakyat jelata.

Kemerosotan pasaran saham itu berpunca daripada sikap sesetengah menteri yang suka bercakap sebarangan, walaupun telah ditegur oleh Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin. Menteri berkenaan senang-senang mendakwa hutang negara setinggi RM1 trilion tanpa asas yang kukuh.

Dakwaan hutang bertrilion mungkin sesuai dijadikan kempen ketika masih menjadi pembangkang tetapi jika menjaja dakwaan yang sama untuk mendapat publisiti murah setelah menjadi kerajaan akan menyebabkan Malaysia dan rakyatnya berdepan dengan akibat yang buruk.

Setelah mengambil alih kuasa, kerajaan PH hanya melaporkan berita baik dan menyembunyikan maklumat kurang baik, dengan niat mahu memutarbelitkan statistik untuk mengaburi mata rakyat. Tetapi prestasi pasaran saham adalah cermin yang paling baik. Ternyata tidak ramai yang masih mempercayai perangkaan yang diumumkan oleh kerajaan.

Sebelum ini, kerajaan PH dengan senang boleh menyalahkan senario antarabangsa yang mengakibatkan kegawatan ekonomi negara. Namun apabila keadaan sedunia sedang bertambah baik, malah rundingan China-Amerika Syarikat juga semakin menampakkan kemungkinan penyelesaian secara baik, dengan Bursa Malaysia tetap melawan arus peningkatan pasaran saham dunia, siapakah yang patut dipertanggungjawabkan?

Apa yang menyedihkan, kerajaan PH tidak menggariskan hala tuju ekonomi negara dan tidak mempunyai pelan tindakan pembangunan. Keadaan diburukkan lagi dengan menteri-menterinya yang suka lepas cakap sehingga mengakibatkan pelabur asing hilang keyakinan dan seterusnya menarik diri dari pasaran Malaysia.

Pelabur asing sangat realistik. Mereka melihat dengan mata sendiri masa depan negara dan bukan mendengar cerita kosong pak menteri. Anehnya, pakar-pakar ekonomi penyokong PH yang amat menyerlah sebelum ini, semuanya membisu seribu bahasa.

Masa depan ekonomi yang malap menjejaskan kehidupan rakyat. Kerajaan PH wajar dipertanggungjawabkan sepenuhnya. Amat melucukan sekiranya ketika hampir setahun memerintah, PH masih menyalahkan kerajaan terdahulu atas ketidakcekapan pentadbirannya sendiri.

NICOLE WONG SIAW TING

Ketua Pemuda MCA